Cipta inisiatif kewangan berasaskan nilai Rahmatan Lil Alamin: Fuziah

Fuziah Salleh
A
A

PUTRAJAYA - Penasihat syariah institusi kewangan perlu berani mencipta inisiatif kewangan berasaskan nilai Rahmatan Lil Alamin dalam produk baharu atau merejuvenasikan produk lama agar lebih segar dan berinovasi untuk menarik pelanggan Islam dan bukan Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, nilai rahmah dalam produk kewangan bukan sahaja akan meningkatkan nilai tambah dalam sesebuah syarikat dan produk tetapi ia juga dapat memastikan keamanan, keadilan dan kestabilan sejagat terpelihara.

“Merejuvenasikan penjenamaan produk sama ada meringkaskan perkataan Islamik kepada i seperti yang digunakan SSPN-i, atau terus menggunakan istilah-istilah Arab yang keistimewaannya tidak dapat digambarkan dengan tafsiran Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris," katanya semasa berucap merasmikan Muzakarah Ahli Majlis Penasihat Syariah Institusi Kewangan di Malaysia Kali ke-15 di sini hari ini.

Fuziah berkata, para penggerak institusi kewangan perlu bijak mengatur strategi dalam mencipta atau mengintegrasi beberapa produk agar lebih komprehensif namun pada masa yang sama, perlu berhati-hati dalam perkara-perkara hukum atau penyaluran dana.

Beliau turut menyeru agar mereka yang terlibat dalam bidang kewangan mengaktifkan kajian dan perbincangan berkaitan kewangan Islam dari semasa ke semasa bagi memberi maslahah dan manfaat pada ummah dan alam seluruhnya.

Muzakarah Ahli Majlis Penasihat Syariah Institusi Kewangan merupakan program tahunan yang menjadi platform perbincangan, perbahasan, pertukaran maklumat dan percambahan ilmu khususnya para penasihat syariah institusi kewangan Islam, para cendekiawan Muslim dan pengamal dalam industri kewangan Islam secara amnya. - Bernama