PRK Tanjong Piai: Pemandu teksi mahu letak calon

Kamarudin (tengah, duduk) pada sidang media umum calon PRK Tanjong Piai di Sentul di sini hari ini.
Kamarudin (tengah, duduk) pada sidang media umum calon PRK Tanjong Piai di Sentul di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) umum bakal meletakkan calon pada Pilihanraya Kecil (PRK) Tanjong Piai selepas kecewa dengan janji ahli politik yang gagal membela nasib mereka.

Yang Dipertuanya, Kamarudin Mohd Hussain berkata, beliau melihat tiada keperluan lagi bergantung dengan janji politik atau individu yang bukan dalam industri perkhidmatan pengangkutan.

"Sebenarnya kami kecewa dengan ahli politik dulu BN (Barisan Nasional) kini PH (Pakatan Harapan), tidak ada satu pun yang benar-benar cuba menyelesaikan masalah kami atau menambah baik industri teksi.

"Cuma seburuk-buruk kerajaan BN, kami diberi juga empat tayar dan insentif RM800. Tapi sekarang di zaman kerajaan PH kami tak dapat apa-apa pun malah kami yang menuntut keadilan dituduh pembangkang," katanya pada sidang media di Sentul hari ini.

Kamarudin berkata, PRK adalah permulaan perjuangan dan akan berusaha sehingga berjaya menempatkan seorang calon dalam Dewan Rakyat.

"Mereka (ahli politik) bukan sahaja tidak pernah merasai keperitan yang kami lalui, malah suara kami langsung tidak didengar, kami tak diberi layanan sama adil seperti pemandu e-hailing.

"Oleh itu di PRK Tanjung Piai kami akan bertanding, kami akan wakilkan anak jati Johor yang mempunyai hubung kait dengan industri pengangkutan untuk bertanding di sana memperjuangkan nasib pemandu teksi, kereta sewa, lori dan bas, " katanya.

Katanya, beberapa calon yang bersesuaian telah dikenal pasti dan bakal diumumkan di Johor sebelum hari penamaan calon.

Artikel Berkaitan: