Jual MyKad: Mahkamah tetap 20 November keputusan notis usul enam tertuduh

Laporan berkaitan kes jual MyKad membabitkan enam individu termasuk seorang penolong pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bulan lalu.
A
A

GEORGETOWN - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 20 November ini untuk keputusan permohonan notis usul yang difailkan enam individu termasuk seorang penolong pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), berhubung persoalan udang-undang berkaitan pertuduhan terhadap mereka.

Mereka berdepan 13 pertuduhan mengeluar dan menjual sijil kelahiran serta kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asing mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Hakim Datuk Akhtar Tahir menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes itu hari ini yang membabitkan Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang, Mohd Faizul Arifin, 34; Mohd Faizal Tan Abdullah, 66; Yap Cheng Wah, 43; Loh Chan Cheong, 34; Chien Guan Chai, 36, dan ahli perniagaan Datuk Lai Chin Wah, 56.

Mohd Faizul, Mohd Faizal Tan, Cheng Wah; Chan Cheong dan Guan Chai masing-masing mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 manakala Lai turut mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan mengikut seksyen yang sama.

Notis usul berkenaan memohon Mahkamah Tinggi menentukan persoalan undang-undang sama ada pertuduhan di bawah seksyen berkenaan ke atas mereka adalah merupakan kesalahan sekuriti di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Mereka juga memohon supaya dibebaskan dengan jaminan mahkamah. Buat masa ini keenam-enam tertuduh masih lagi ditahan kerana mereka didakwa di atas kesalahan di bawah SOSMA yang tidak boleh dijamin.

Mahkamah itu turut menetapkan 29 Oktober ini bagi pihak pendakwaan membalas afidavit pihak pembelaan, manakala 5 November untuk pihak pembelaan mengemukakan afidavit balas kepada pihak pendakwaan. Akhtar turut menetapkan 12 Nov ini untuk hujahan bertulis notis usul tersebut bagi kedua-dua pihak.

Mohd Faizul menghadapi dua pertuduhan membuat dokumen pengenalan diri fraud iaitu sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng bagi maksud memudahkan suatu perbuatan penyeludupan migran di Ibu Pejabat JPN Negeri Pulau Pinang Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, di sini antara Januari hingga Februari 2019.

Mohd Faizal Tan, Cheng Wah; Chan Cheong dan Guan Chai masing-masing didakwa atas dua pertuduhan menjual sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng di sekitar kawasan George Town pada tempoh yang sama.

Chin Wah pula didakwa atas tiga pertuduhan menjual sijil kelahiran, kad pengenalan dan pasport atas nama Ewe Chor Beng di sekitar kawasan George Town antara Januari hingga Mac 2019.

Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 memperuntukkan hukuman penjara minimum tujuh tahun dan maksimum 15 tahun serta boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Sindiket MyKad: Tubuh RCI siasat dalang

6 termasuk pegawai JPN Pulau Pinang didakwa jual MyKad

Warga China pemegang MyKad penuhi syarat permohonan: JPN