Nahas bas di Turki: Allahyarham Azalan juga dikenali Lan Milo

Laporan berkaitan kemalangan di Turki semalam.
A
A

SHAH ALAM - Kehilangan Azalan Miswan yang juga kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam tragedi nahas bas di Turki turut dirasai oleh seluruh warga kerja PKNS.

Rakan sekampung Allahyarham, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid yang juga Pengurus Komunikasi Korporat PKNS.

Allahyarham berasal dari Taman Medan, Petaling Jaya itu meninggal dunia setelah bas yang dinaiki bersama 35 kakitangan PKNS terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappadocia.

Selain mengenali Allahyarham sebagai kakitangan PKNS, sisi lain yang perlu diketahui umum, Allahyarham adalah salah seorang pemain sepak takraw yang popular awal 80-an dan pernah muncul dalam satu iklan Milo untuk sukan sepak takraw.

Mendapat jolokan nama Lan Milo, kini dunia sepak takraw kehilangan sebutir permata.

Bercerita lanjut, kata Mahfizul, Allahyarham menceburi sukan sepak takraw ketika di bangku sekolah sebelum memenangi pelbagai kejohanan dipertandingkan.

"Waktu itu, saya bersama arwah menceburi sukan sepak takraw sejak di bangku sekolah lagi. Arwah memang sangat meminta sukan ini dan dia bertuah terpilih menjadi salah seorang pemain sepak takraw bagi iklan Milo.

"Zaman itu jenama Milo suatu nama yang cukup gah dan merupakan pengeluar minuman yang berkecimpung dalam banyak acara sukan termasuk sepak takraw.

"Ketika itu dia belasan tahun dan iklan tersebut juga sudah lama namun memori itu akan dikenang sampai bila-bila," katanya dihubungi Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga masih bincang, mungkin dikebumikan di Turki: Bapa

Selain melibatkan diri dalam dunia sepak takraw, Allahyarham juga memegang jawatan Exco Kelab Bola Sepak PKNS FC dan berkhidmat selama 28 tahun di PKNS.

Kata Mahfizul, ketika hayatnya, Allahyarham masih bergiat aktif dalam sukan sepak takraw dan melibatkan diri apa jua pertandingan menerusi pasukan veteran sepak takraw.

Difahamkan, sebelum sertai PKNS, Allahyarham telah berkhidmat sebagai anggota polis dan pernah mewakili PKNS, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam sukan tersebut.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang rakyat Malaysia maut manakala 10 lagi cedera dalam satu kemalangan melibatkan bas yang mereka naiki di Afyonkarahisar, Turki.

Rombongan itu berlepas dari Malaysia ke Turki pada 12 September dan dijangka pulang ke tanah air pada 21 September ini.