Dipenjara 13 bulan lakukan kekerasan, perbuatan khianat

Tertuduh (tengah) mengaku bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini.
Tertuduh (tengah) mengaku bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Majistret semalam menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan terhadap seorang lelaki kerana melakukan perbuatan khianat dengan merosakkan sebuah motosikal serta kekerasan terhadap seorang individu menggunakan parang.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu terhadap Roslan Salim, 38, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan jenayah itu pada 22 September lalu.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh di dakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dengan merosakkan lampu bahagian hadapan serta belakang motosikal milik seorang lelaki mengakibatkan kerugian sebanyak RM1,500.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10.30 pagi di Kampung Gelugor Kedai, di sini.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh di dakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan dengan melakukan kekerasan jenayah terhadap mangsa.

Tertuduh dikenakan hukuman penjara 12 bulan bagi pertuduhan pertama dan sebulan penjara bagi pertuduhan kedua bermula dari tarikh tangkap.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Ratna manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, mangsa didatangi tertuduh sambil membawa sebilah parang ketika sedang bekerja di sebuah rumah dalam pembinaan di Kg Gelugor Kedai.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh kemudiannya bertindak memecahkan lampu hadapan serta lampu belakang motosikal jenis Honda EX5 milik mangsa menggunakan parang yang dipegangnya.

Tertuduh juga menggunakan jenayah kekerasan dengan cuba menyerang mangsa menggunakan parang namun sempat ditepis mangsa dengan sebatang kayu.

Perbalahan mulut antara mangsa dan tertuduh berterusan sehingga pekerja mangsa datang dan meleraikan perbalahan itu.

Mangsa bimbang dan membuat laporan polis di Balai Polis Chabang Tiga.

Tertuduh kemudiannya ditahan sepasukan anggota polis ketika membuat serbuan di sebuah rumah di Pengadang Baru, Gelugor Kedai, di sini dan pihak polis turut merampas sebilah parang.