6.6 juta pokok ditanam di pesisir pantai seluruh negara

Xavier dan Mukhriz ketika hadir ke Sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa peringkat kebangsaan Tahun 2019 di Kompleks Pelancongan Sungai Merbok di Jeti Semeling hari ini.
Xavier dan Mukhriz ketika hadir ke Sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa peringkat kebangsaan Tahun 2019 di Kompleks Pelancongan Sungai Merbok di Jeti Semeling hari ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sejumlah 6.6 juta pokok ditanam di kawasan pesisiran pantai seluruh negara seluas 2,887.63 hektar membabitkan peruntukan berjumlah RM54.9 juta sejak 2005 sehingga Julai lalu.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, penanaman dilaksanakan menerusi Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-Spesies Yang Bersesuaian yang turut mendapat kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia sejak 2005.

Menurutnya, peruntukan itu juga merangkumi aktiviti penanaman dan penyelenggaraan tanaman pokok bakau dan spesies yang sesuai, aktiviti penyelidikan dan pembangunan, pemantauan dan program pengembangan serta kesedaran awam.

"Seperti semua maklum, bertitik tolak daripada tragedi tsunami yang melanda negara 15 tahun lalu khususnya kawasan Pantai Kuala Muda, kerajaan Persekutuan komited dalam memelihara dan memulihara kawasan hutan paya laut yang berperanan penting dalam memberikan perkhidmatan ekosistem termasuk sebagai benteng semula jadi untuk memecah, menahan dan mengurangkan kesan tiupan angin dan pukulan ombak laut,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa peringkat kebangsaan di Kompleks Pelancongan Sungai Merbok, Jeti Semeling hari ini.

Hadir sama merasmikan majlis, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Sementara itu, Mukhriz berkata, kerajaan Kedah sangat komited dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan, khazanah alam yang tiada ternilai.

Menurutnya, sehingga kini, keluasan Hutan Simpanan Kekal Negeri Kedah adalah seluas 341,976 hektar iaitu bersamaan dengan 36 peratus dari keluasan tanah negeri.

Artikel Berkaitan:

"Keluasan Hutan Simpanan Kekal ini termasuk kawasan Hutan Paya Laut seluas 6,201 hektar," katanya.

Dalam majlis berkenaan, Xavier dan Mukhriz serta turut menyempurnakan penanaman anak bakau sebagai gimik perasmian.

Turut diadakan pelancaran Buku Rancangan Pengurusan Hutan Paya Laut Tahun 2020-2029 Negeri Kedah, penyerahan anak pokok serta pameran oleh agensi berkaitan.