Berita baik untuk penjawat awam Kedah

Mukhriz
Mukhriz
A
A
A

ALOR SETAR - Berita baik untuk penjawat awam Kedah akan diketahui apabila diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada pembentangan belanjawan negeri 2020 Ahad ini.

Bagaimanapun, insentif yang diberikan oleh kerajaan negeri adalah berdasarkan kemampuan pihaknya bagi menghargai penjawat awam di negeri Kedah.

"Kita tunggu la sat (sekejap), 20 Oktober ini kita umum bajet, jadi insya-ALLAH ada, (diberi) bagi yang termampu di peringkat negeri Kedah ini.

"Kita akan pertimbangkan, insya-ALLAH (ada berita baik)," katanya kepada media selepas Majlis Perhimpunan Pagi Penjawat Awam dan Hari Bertemu Pelanggan di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman hari ini.

Mukhriz berkata demikian selepas diminta mengulas kemungkinan besar adanya berita baik buat penjawat awam Kedah selepas Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakod mengumumkan bonus RM500 diberikan kepada penjawat awam negeri itu pada awal tahun hadapan.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, pihaknya juga bersedia melaksanakan cuti bersalin selama 90 hari kepada pekerja wanita dan setiap cadangan oleh Kerajaan Pusat sedang diperhalusi.

Menurutnya, semua cadangan oleh kerajaan pusat kebanyakannya baik dan boleh diterima.

"Agensi kerajaan dan swasta perlu melihat perkara ini (cuti bersalin 90 hari) dari sudut positif dalam usaha memurnikan institusi kekeluargaan. Di samping kita bekerja, kita kena juga jaga keluarga kita untuk menjamin kesejahteraan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, masa bersama dan tempoh penyusuan sangat penting buat ibu dan anaknya.

Katanya, tempoh rehat panjang tanpa gangguan pekerjaan sangat penting kepada pekerja wanita selepas bersalin dalam membentuk generasi lebih baik.