LHM 2019: TNB sasar kedudukan dua teratas

Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Omar Sidek (tiga, kanan) sewaktu penyerahan replika cek penajaan berjumlah RM 4 juta kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang diwakili oleh Bendahari MHC, Selvendran Saravanamuthu (empat, kiri) serta pengenalan jersi baharu Pasukan Hoki TNB dan TNB Thunderbolts pada Majlis Penyerahan Tajaan TNB Kepada MHC dan sesi memperkenalkan Pasukan Hoki TNB dan TNB Thunderbolts sempena TNB-Liga Hoki Malaysia 2019 di Padang Kelab Kilat TNB Bangsar, hari ini. - Foto Bernama

A
A
A

TENAGA Nasional Berhad (TNB) menyasarkan kedudukan dua teratas dalam kempen Divisyen Perdana Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019 selepas menamatkan saingan 2018 di tempat ketiga.

Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat TNB, Datuk Omar Sidek berkata, sasaran itu bukan satu perkara mustahil untuk dicapai meskipun TNB masih mengekalkan prinsip membariskan 100 peratus pemain tempatan.

Menurut Omar Sidek, gabungan pemain muda dan senior kebangsaan dalam pasukan mampu menghasilkan ramuan terbaik bagi merealisasikan misi tersebut.

“Kami percaya pemain tempatan boleh menyumbang sesuatu. TNB dibarisi 10 pemain senior dan sembilan pemain remaja skuad kebangsaan dan kami yakin gabungan ini mampu membawa pasukan sehingga ke pentas akhir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan tajaan TNB kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan sesi memperkenalkan pasukan di sini, hari ini.

Sementara itu, ketua jurulatih TNB Nor Saiful Zaini Nasiruddin mengingatkan barisan pemainnya supaya kekal fokus sepanjang kempen liga sekiranya mahu menjulang kejuaraan.

Katanya, pasukan perlu lebih berhati-hati dalam perlawanan supaya tidak mudah dibolosi pihak lawan selain perlu menyempurnakan setiap peluang menjaringkan gol.

“Pasukan ini mempunyai ramai pemain berkualiti dan saya yakin mereka boleh capai sasaran diletakkan itu. Cuma pemain perlu lebih peka untuk mencipta kemenangan dan elak buat kesilapan mudah seperti melepaskan peluang menjaringkan gol dan memberi gol mudah kepada lawan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, TNB menamatkan saingan LHM 2018 di kedudukan ketiga di belakang juara, Pasukan Hoki Terengganu (THT) dan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) sebagai naib juara.

Dalam saingan Piala TNB 2018 pula, TNB sekadar menamatkan saingan di kedudukan keempat selepas tewas 7-8 menerusi penentuan pukulan penalti kepada KLHC dalam aksi separuh akhir. - Bernama