Kerajaan Pulau Pinang pertimbang naik caj parkir kawasan elit

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang sedang menimbang kemungkinan menaikkan caj parkir di kawasan-kawasan elit atau di lokasi tanah bernilai tinggi.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pertimbangan itu dibuat sebagai salah satu kaedah yang diperlukan untuk menambah baik aliran trafik di bandaraya Georgetown sebagaimana yang disarankan oleh Bank Pembangunan Asia (ADB).

Beliau berkata, menurut perunding ADB, kadar letak kereta yang tinggi akan mengurangkan tempoh waktu pengguna memandu kerana mereka akan terus sahaja mencari tempat letak kereta di kompleks-kompleks letak kereta berbayar dan tidak lagi tercari-cari tempat letak kereta tepi jalan raya yang murah.

“Lebih penting lagi tempat letak kereta yang tinggi akan mengurangkan orang ramai memandu di Georgetown dan pada masa yang sama meningkatkan minat orang ramai untuk memilih perkhidmatan bas-bas Central Area Transit (CAT) yang sedia ada,” katanya dalam majlis sesi dialog 'Tilting the Balance from Private to Public Transportation' di sini.

Menurutnya, kerajaan negeri membelanjakan RM17 juta setiap tahun untuk peruntukan perkhidmatan bas percuma dan bas subsidi namun usaha itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri kini turut mengkaji cadangan untuk menamatkan 12 laluan bas percuma kerana menerima kadar penumpang yang amat rendah dan mengalihkan perkhidmatan itu di kawasan-kawasan yang lebih memerlukan.

Katanya, 10,000 kenderaan persendirian baharu telah didaftarkan di Pulau Pinang setiap tiga atau empat bulan dan keadaan ini menyebabkan kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara yang semakin teruk di sini.

"Menerusi inisiatif PTMP (Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang) kerajaan negeri meletakkan sasaran kewujudan 40 peratus pengangkutan awam dan 60 peratus bagi kenderaan swasta," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: