'Ingatkan kasut rupanya rokok'

Abdul Latif (tengah) menunjukkan rokok putih yang dirampas dalam serbuan di Unit Pemeriksaan 100 peratus Terminal Kargo Utara Butterworh (NBCT), Pulau Pinang pada 8 Oktober lalu membabitkan nilai cukai RM7.1 juta.
Abdul Latif (tengah) menunjukkan rokok putih yang dirampas dalam serbuan di Unit Pemeriksaan 100 peratus Terminal Kargo Utara Butterworh (NBCT), Pulau Pinang pada 8 Oktober lalu membabitkan nilai cukai RM7.1 juta.
A
A
A

IPOH - Taktik pengimport kononnya membawa masuk satu kontena kasut terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menemui 10.64 juta batang rokok putih di dalam kontena tersebut di Unit Pemeriksaan 100 peratus Terminal Kargo Utara Butterworh (NBCT), Pulau Pinang pada 8 Oktober lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Datuk Abdul Latif Abdul Kadir berkata, hasil serbuan dan pemeriksaan itu mendapati nilai anggaran rampasan keseluruhan rokok itu berjumlah RM851,200 dengan anggaran cukai terlibat bernilai RM7.1 juta.

Menurutnya, rampasan tersebut dibuat melalui maklumat awam dan hasil risikan JKDM setelah kontena tersebut ditinggalkan di kawasan terbabit selama tiga bulan tanpa dituntut sesiapa.

"Hasil siasatan awal mendapati pengimport melakukan penipuan dalam borang manifest dengan menyatakan barangan yang dibawa masuk adalah kasut, namun setelah pemeriksaan lanjut dibuat mendapati kontena itu membawa dagangan rokok yang merupakan barang larangan Kastam di bawah Perintah Duti Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

"Pihak JKDM akan menjalankan siasatan lanjut berhubung pengimport yang membawa masuk barang dagangan melalui dokumen-dokumen yang dirampas dalam serbuan berkenaan di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976," katanya kepada pemberita di Pejabat Kastam Bahagian Penguatkuasaan Ipoh, Wisma Kastam Negeri Perak di sini hari ini.

Menurutnya, rampasan tersebut merupakan yang terbesar bagi JKDM Perak untuk tahun ini menerusi Ops Sinar yang dilaksanakan bermula 1 hingga 31 Oktober ini sempena perayaan Deepavali.

Sementara itu, dalam satu lagi operasi berasingan, Abdul Latif berkata, pihaknya turut berjaya merampas kira-kira 4,376 liter minuman keras pelbagai jenama pada 14 Oktober lalu di sebuah premis di Puchong, Selangor.

Menurutnya, nilai keseluruhan barangan yang dirampas dan cukai bagi minuman keras itu dianggarkan berjumlah RM135,880.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan awal kita mendapati pemilik premis melakukan kesalahan menyimpan barang larangan Kastam di bawah Perintah Duti Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

"Kita turut menahan dua lelaki berusia dalam lingkungan 20-an dan 40-an bagi membantu siasatan bagi kes rampasan minuman keras ini yang dipercayai untuk pasaran menjelang Deepavali," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, jika sabit kesalahan untuk kedua-dua kes tersebut, denda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Manakala bagi kesalahan kedua atau seterusnya, denda boleh dikenakan tidak kurang 20 kali ganda nilai barang atau RM200,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 40 kali ganda nilai barang atau RM1 juta yang mana lebih besar atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Jelas Abdul Latif, orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan yang diketahui seperti kenderaan tanpa permit, senjata api, rokok, minuman keras dan mercun dengan menghubungi Bahagian Penguatkuasaan JKDM Perak di talian 05-5272010 atau menghubungi talian bebas tol JKDM 1-300-888-500.