89,762 rakyat Pulau Pinang bantah kenaikan cukai

Jagdeep (tengah) bersama Tung Seang (dua dari kiri) dan Rozali (dua dari kanan) menunjukkan buku Akta Kerajaan Tempatan pada sidang media tadi.
Jagdeep (tengah) bersama Tung Seang (dua dari kiri) dan Rozali (dua dari kanan) menunjukkan buku Akta Kerajaan Tempatan pada sidang media tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang menerima 89,762 bantahan iaitu 14 peratus daripada 639,102 pemilik harta di negeri ini berhubung semakan semula kadar nilaian baru 2020.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo berkata, jumlah bantahan itu melibatkan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu 54,239 (16.82 peratus) bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan 35,523 (11.22 peratus) bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Menurutnya, kesemua bantahan itu diterima melalui laman web, emel dan surat dalam tempoh 32 hari bermula 12 September hingga 14 Oktober lalu.

Beliau berkata, setiap pemilik harta di kedua-dua kawasan iaitu pulau dan seberang yang tidak berpuas hati telah membuat bantahan dengan beberapa alasan.

"Antara alasan-alasan itu adalah masalah kewangan; kegawatan ekonomi; cukai baru terlalu tinggi, perkhidmatan yang diberikan MBSP tidak setimpal dengan kenaikan cukai pintu dan kenaikan terlalu mendadak.

"Bantahan yang diterima akan direkodkan dan dianalisa bagi memastikan nilai tahunan baru yang dicadangkan berpatutan.

"Setiap pembantah akan dijemput untuk menghadiri sesi pendengaran bantahan yang dijadualkan pada 29 Oktober ini," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) tadi.

Turut hadir, Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang dan Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud.

Artikel Berkaitan:

Jagdeep berkata, bagi MBPP, pihaknya menyediakan tiga lokasi berbeza untuk sesi pendengaran bantahan tersebut.

"Di bahagian pulau, ada tiga lokasi iaitu Dewan Bandaraya di Padang Kota Lama; Bilik Perdana, Aras 4 Komtar dan Kompleks Pasar Awam Balik Pulau. Sementara di kawasan seberang, kita sediakan empat lokasi berbeza iaitu Dewan Datuk Haji Ahmad Badawi; Kompleks Sukan MBSP Bertam, Pejabat Cawangan MBSP Jalan Betek dan Dewan Serbaguna Jawi.

"Sekiranya pembantah tidak dapat hadir dan ingin menghantar wakil, maka mereka dikehendaki menyerahkan surat kuasa kepada wakil yang dilantik. Tanpa surat kuasa, wakil tersebut tidak dibenarkan untuk mewakili kepentingan pembantah berkenaan," katanya.

Jelasnya, disebabkan pendengaran bantahan dijangka selesai pada Mac 2020, bil pertama bagi tahun hadapan akan mengikut kadar lama.

"Bil cukai taksiran bagi penggal pertama 2020 dijangka akan mula diterima secara berperingkat bermula November ini. Bil bagi enam bulan pertama akan memaparkan amaun sama dalam notis kadaran yang diterima September baru-baru ini. Jumlah itu adalah amaun sebelum mengambil kira keputusan Jawatankuasa Bantahan Cukai Taksiran.

"Bagaimanapun, pemilik harta masih perlu membuat bayaran cukai taksiran berdasarkan amaun yang tertera dan pembayaran perlu dibuat sebelum atau selewat-lewatnya 29 Februari 2020.

"Sekiranya amaun cukai selepas keputusan bantahan kurang daripada amaun cukai asal, maka lebihan bayaran itu akan dikreditkan terus ke akaun cukai taksiran pemilik sebagai lebihan bayaran," katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan akan menaikkan cukai taksiran dianggarkan sehingga 30 peratus yang dinilai mengikut kategori hartanah, bermula tahun depan.

Kenaikan itu berdasarkan kadar cukai taksiran sedia ada yang tidak disemak sejak 15 tahun lalu, selain peningkatan kos pengurusan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).