Ladang integrasi bantu petani, peladang kecil

Tze Tzin (dua dari kiri) diberikan taklimat berkaitan nanas MD2 di Ladang Nanas Aqina Plantation Sdn Bhd ketika lawatannya kelmarin.
Tze Tzin (dua dari kiri) diberikan taklimat berkaitan nanas MD2 di Ladang Nanas Aqina Plantation Sdn Bhd ketika lawatannya kelmarin.
A
A
A

PONTIAN - Pembangunan ladang integrasi akan menjadi inisiatif pemerkasaan baharu kerajaan bagi membantu petani dan peladang kecil di negeri ini berubah ke arah tanaman baharu yang lebih lumayan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, usaha itu juga dilihat sebagai langkah terbaik yang boleh diambil untuk membantu pengusaha yang masih bergantung sepenuhnya kepada tanaman komoditi.

Menurutnya, terdapat lapan juta hektar tanah pertanian di seluruh negara tetapi hanya dua juta hektar yang digunakan sebagai tanaman lain daripada sumber komoditi.

“Lebih kurang 75 peratus daripada tanah pertanian kita adalah daripada kelapa sawit, jadi apabila ada masalah harga komoditi turun, ia memberi kesan kepada pekebun.

“Jadi kita rasa jika pengusaha ini boleh bangunkan ladang integrasi, mereka masih tanam kelapa sawit tapi peruntukkan sedikit ruang untuk nanas, kelapa atau tanaman lain ia boleh membuka peluang untuk memperoleh hasil lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas melawat Ladang Nanas Aqina Plantation Sdn Bhd di Kampung Sungai Sam di sini kelmarin.

Tze Tzin berkata, kementeriannya juga sedang dalam perbincangan bersama Menteri Industri Utama, Teresa Kok berhubung bantuan boleh diberikan kepada pekebun yang mahu menjalankan program ladang integrasi.

Artikel Berkaitan:


Tze Tzin (tengah) melawat Ladang Nanas Aqina Plantation Sdn Bhd di Kampung Sungai Sam, Pontian kelmarin.
Tze Tzin (tengah) melawat Ladang Nanas Aqina Plantation Sdn Bhd di Kampung Sungai Sam, Pontian kelmarin.

Katanya, secara asasnya kedua-dua pihak juga telah bersetuju untuk membantu satu sama lain dengan memberikan khidmat teknikal kepada pekebun yang berminat.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, antara tanaman dicadangkan program ladang integrasi itu adalah nanas MD2 yang kini mendapat permintaan tinggi oleh negara luar terutama dari China.

“Sekarang ini kita tidak cukup sumber dan kita hanya boleh eksport 10 ke 20 kontena sahaja, di mana satu kontena mengandungi sebanyak 18 tan nanas.

“Untuk pasaran di China, mereka memerlukan sekurang-kurangnya 100 kontena sebulan. Ini adalah sumber kekayaan baharu yang tidak perlu dipersiakan,” katanya.

Industri nanas dijangka terus meningkat

INDUSTRI nanas negara dijangka akan berkembang dengan unjuran kadar pertumbuhan sebanyak lima peratus setahun jika dilihat berdasarkan trend penanaman dan penerimaan masyarakat.

Tze Tzin berkata, pertumbuhan itu juga menyaksikan peningkatan hasil tanaman nanas kepada RM530 juta berbanding RM502 juta yang diperoleh tahun lalu.

Menurutnya, nilai pengeluaran nanas negara pada tahun ini dijangka mengalami pertumbuhan positif selaras dengan permintaan domestik dan luar negara.

“Malaysia berjaya menembusi pasaran 20 negara dunia dengan nilai eksport sebanyak RM342 juta dan antara negara yang menjadi pengimport produk nanas Malaysia ialah China, Jepun, Korea, Singapura, negara-negara timur tengah serta beberapa negara Eropah,” katanya.

Kaedah penanaman nanas MD2.
Kaedah penanaman nanas MD2.

Beliau berkata, bagi menambah usaha itu ke arah yang lebih progresif, kerajaan juga akan memberi tumpuan untuk menambah lebih banyak ladang penanaman nanas di seluruh negara.

Katanya, ia juga berikutan keluasan tanaman sedia ada belum mencukupi untuk memenuhi permintaan luar negara terutama nanas dari jenis MD2.

“Kementerian melalui Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) akan meneruskan program perluasan tanaman nanas bagi membantu memberi peluang kepada pengusaha dan pekebun kecil seluruh negara,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai lawatannya, Tze Tzin berkata, pihaknya begitu teruja kerana syarikat tempatan itu berjaya menghasilkan pelbagai produk hiliran nanas yang berkualiti.

“Apa yang mengujakan saya adalah inovasi dihasilkan Syarikat Aqina yang mempelbagaikan produk hiliran nanas MD2 mereka dengan menghasilkan makanan ternakan ayam menggunakan ekstrak enzim bromelin.

“Enzim bromelin ini banyak terdapat dalam buah nanas. Ia juga berperanan dalam mencernakan protein dan telah digunakan dalam bidang perubatan,” katanya.

Produk ayam kampung merupakan inovasi hiliran nanas di Ladang Nanas Aqina.
Produk ayam kampung merupakan inovasi hiliran nanas di Ladang Nanas Aqina.