Footbraille khas untuk orang buta

KETUA Pegawai Hal Ehwal Korporat Digi, Joachim Rajaram (tengah) bersama Ketua Perkhidmatan Pemasaran Digi, Bernard Lee dan Ketua Digital IT Digi, Anwar Ishak menunjukkan prototaip Footbraille.
KETUA Pegawai Hal Ehwal Korporat Digi, Joachim Rajaram (tengah) bersama Ketua Perkhidmatan Pemasaran Digi, Bernard Lee dan Ketua Digital IT Digi, Anwar Ishak menunjukkan prototaip Footbraille.
A
A
A

SUDAH pastinya impian untuk merasai sendiri keterujaan perlawanan bola sepak buat golongan kurang upaya (OKU) penglihatan mungkin dapat direalisasikan dengan satu-satunya inovasi cukup sofistikated, Footbraille.

Prototaip yang dihasilkan Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) itu boleh dikatakan bakal menjadi pemangkin solusi baharu bagi menggabungkan aspek teknologi dengan internet sekali gus membolehkan golongan cacat penglihatan ‘melihat’ sukan bola sepak hanya di hujung jari.

Lebih menarik, Digi mahu menghidupkan kembali nostalgia momen kejayaan skuad Malaysia yang berjaya menumpaskan Korea Selatan dengan jaringan 2-1 dalam pusingan kelayakan Sukan Olimpik Moscow 1980.

Menurut Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Digi, Joachim Rajaram, pihaknya sentiasa mencari inspirasi dan kaedah baharu melalui penggunaan teknologi bagi membina hubungan yang lebih bermakna.

“Kami percaya bahawa setiap warga Malaysia harus diberi peluang untuk memanfaatkan kuasa internet dan teknologi selain menyatukan minat serta semangat patriotisme atlet-atlet negara kita dengan detik yang paling ikonik dalam sejarah sukan negara yang pernah dilakar lebih 39 tahun yang lalu.

“Dengan penggunaan teknologi yang inovatif, secara inklusif kami dapat menghubungkan komuniti insan kelainan upaya ini dengan sesuatu yang amat bermakna buat diri mereka iaitu minat mereka terhadap sukan bola sepak melalui pengalaman imersif,” ujarnya.

Katanya lagi, projek itu bukanlah suatu tugasan yang mudah namun pihaknya amat bertuah untuk menjadi sebahagian daripadanya.

Artikel Berkaitan:

INOVASI Footbraille.
INOVASI Footbraille.

Inspirasi

Sementara itu, Ketua Digital IT Digi, Anwar Ishak berkata, Footbraille dibangunkan dalam tempoh empat bulan dan mengambil inspirasi daripada perlawanan antara Malaysia dan Korea Selatan pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik Moscow 1980.

“Apabila kami berjumpa dengan pemain Persatuan Bola Sepak Orang Buta Malaysia, kami lihat bagaimana mereka bermain bola sepak dan menikmati permainan tersebut.

Jurulatih mereka menceritakan dan menunjukkan kepada kami bagaimana pemain menonton perlawanan bola sepak iaitu dengan memegang tangan mereka dan menjejaki pergerakan bola di tapak tangan.

“Menerusi cerita tersebut, kami mendapat inspirasi untuk meningkatkan pengalaman tersebut menerusi teknologi kerana seorang jurulatih hanya boleh menerangkan perlawanan tersebut kepada seorang pemain berbanding situasi yang mana terdapat ramai pemain pada satu masa,” katanya.

TEKNOLOGI Footbraille membolehkan pengguna menjejak pergerakan bola selain memberikan respons sentuhan yang membolehkan mereka merasai perlawanan bola sepak yang sedang dimainkan.
TEKNOLOGI Footbraille membolehkan pengguna menjejak pergerakan bola selain memberikan respons sentuhan yang membolehkan mereka merasai perlawanan bola sepak yang sedang dimainkan.

Secara asasnya, ujar beliau, Footbraille merupakan meja sesentuh yang dihubungkan tanpa wayar dengan sebuah peranti menerusi perisian khas dan dapat menjejak pergerakan bola serta memberi respons sentuhan yang membolehkan pengguna merasai perlawanan bola sepak yang sedang dimainkan.

Pengalaman itu turut diperkayakan lagi dengan suara ulasan perlawanan untuk membolehkan pengguna benar-benar mendalami permainan tersebut.

Pada fasa yang seterusnya, kebolehan Footbraille akan diuji untuk menyiarkan perlawanan bola sepak dalam masa nyata bagi perlawanan yang bersiaran langsung dan boleh juga digunakan semasa latihan.

Inisiatif Digi itu bukan terhenti begitu sahaja apabila syarikat berkenaan mahu menguji prototaip itu untuk satu perlawanan besar di peringkat kebangsaan memandangkan sebelum ini, ujian terhadap satu perlawanan futsal sudah dilaksanakan.

KETUA Pegawai Hal Ehwal Korporat Digi, Joachim Rajaram mencuba teknologi prototaip Footbraille.
KETUA Pegawai Hal Ehwal Korporat Digi, Joachim Rajaram mencuba teknologi prototaip Footbraille.