Memahami konflik Turki - pejuang Kurdish

No Image Caption
A
A
A

ISTANBUL - Operation Peace Spring atau operasi Rojava dilancarkan Turki ke atas wilayah dikuasai Kurdish di utara Syria sejak seminggu lalu telah memburukkan lagi perang saudara di negara itu yang berlarutan sejak Arab Spring tercetus pada 2011.

Apa yang bermula lapan tahun lalu sebagai siri protes tanpa kekerasan ke atas rejim Presiden Bashar al-Assad yang mencetuskan konflik antarabangsa antara puluhan puak tempatan, Daesh dan beberapa negara asing.

Kini, sekutu Amerika Syarikat (AS) itu telah menyasarkan kumpulan yang berjuang bersama tentera AS sejak beberapa tahun lalu.

Berikut adalah butiran lanjut tentang bagaimana pejuang Kurdish boleh terlibat dalam konflik sukar dijelaskan itu.

Berapa ramai penduduk Kurdish di Syria?

Kurdish adalah merupakan etnik minoriti terbesar di Syria meliputi antara lima dan 10 peratus 21 juta populasi di Syria pada 2011.

Kebanyakan daripada mereka tinggal di bahagian utara negara itu yang bersempadan dengan Turki bersama kumpulan etnik lain dan penduduk Arab.

Terdapat juga populasi Kurdish yang besar di Turki, Iraq dan Iran, namun tiada negara mempunyai majoriti penduduk Kurdish.

Artikel Berkaitan:

Bagaimana Kurdish boleh terlibat dalam konflik di Syria?

Demonstrasi secara aman terhadap Presiden Bashar al-Assad menyaksikan pelbagai puak bertempur untuk mengawal Syria selepas negara itu terjerumus dalam perang saudara pada 2011-2012.

Pertempuran itu disertai militia prokerajaan, pemberontak yang berjuang untuk menuntut negara demokrasi, ekstremis dan pejuang dari pelbagai etnik serta kumpulan agama minoriti yang berusaha untuk melindungi kawasan mereka daripada diserang.

Antara mereka adalah beberapa pejuang Kurdish yang dikenali sebagai Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG).

Bagaimana AS campur tangan?

Selama beberapa tahun, pentadbiran bekas Presiden Barack Obama menolak gesaan banyak pihak supaya campur tangan dalam konflik di Syria dan lebih memilih untuk menyediakan dana dan latihan untuk beberapa kumpulan pemberontak.

Tetapi, Obama terpaksa mengubah pendirian tersebut selepas Daesh mengambil kesempatan terhadap kekacauan konflik itu dengan menguasai sebahagian besar wilayah di Iraq dan Syria.

Pada 2014, AS menyertai pakatan antarabangsa untuk memerangi militan, melancarkan serangan udara dan membina pangkalan tentera di Damsyik atas alasan untuk memberi bantuan kepada operasi darat terhadap Daesh.

Erdogan berikrar untuk menghapuskan pejuang Kurdish di sempadan.
Erdogan berikrar untuk menghapuskan pejuang Kurdish di sempadan.

Bagaimana pejuang Kurdish menjadi sekutu AS?

Ketika militan Daesh bermaharajalela, YPG menjadi salah sebuah daripada kumpulan bersenjata di Syria yang memerangi ekstremis secara konsisten.

Mereka melihat pejuang Kurdish sebagai pilihan paling selamat apabila pakatan antarabangsa yang diketuai AS mencari rakan gabungan tempatan untuk menghapuskan Daesh.

Kenapa Kurdish kawal banyak kawasan?

YPG mengambil alih kawasan yang ditawannya selepas kejayaan pejuang Kurdish mengusir Daesh daripada utara Syria dan turut kehilangan kira-kira 11,000 anggota sepanjang proses itu.

Pejuang Kurdish terbabit telah menguasai kira-kira satu pertiga daripada kawasan di Syria termasuk lokasi paling hampir dengan sempadan Turki dan didiami penduduk Arab serta kumpulan etnik lain.

Kenapa Turki mahu lepaskan mereka dari kawasan itu?

Pejuang Kurdish didakwa sebagai cabang kepada kumpulan gerila Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang melancarkan pemberontakan selama beberapa dekad di Turki.

Ankara dan Washington menganggap PKK sebagai pertubuhan pengganas.

Turki juga melihat wilayah dikuasai Kurdish di kawasan yang dekat dengan sempadan negara itu sebagai ancaman keselamatan utama kepada mereka.

Ankara bimbang kawasan itu menjadi tempat berlindung bagi kumpulan penentang yang melarikan diri dari Turki atau menjadi batu loncatan untuk serangan pemberontak yang menyasarkan negara itu.

Permusuhan Turki dengan kumpulan Kurdish tersebut menyebabkan AS tersepit di tengah-tengah memandangkan Ankara adalah salah satu daripada sekutu Washington, anggota Perjanjian Pertubuhan Atlantik Utara (NATO) manakala pejuang Kurdish merupakan kumpulan yang berjuang di barisan hadapan bersama AS untuk memerangi Daesh.

Asap tebal memenuhi ruang udara bandar Ras al-Ain yang dibedil pada hari kelapan Peace Spring Operation tersebut.
Asap tebal memenuhi ruang udara bandar Ras al-Ain yang dibedil pada hari kelapan Peace Spring Operation tersebut.

Bagaimana AS cuba jadi orang tengah

Pentadbiran Obama cuba meredakan ketegangan itu dengan menggalakkan YPG menukar nama kumpulan mereka dan menerima kemasukan lebih ramai anggota bukan daripada puak Kurdish.

Kumpulan terbabit kini dikenali sebagai Tentera Demokratik Syria (SDF) dan data AS pada 2016 menunjukkan kira-kira 40 peratus daripada anggota mereka adalah orang Arab atau dari latar belakang etnik lain.

Tentera AS juga mula bertindak sebagai anggota pengaman de facto dengan melakukan rondaan di sempadan Ankara yang dilakukan bersama tentera Turki.

Sejak beberapa bulan lalu, Washington dikatakan cuba memujuk pihak berkuasa Kurdish untuk menarik pasukan mereka dari sempadan dan merobohkan kubu pertahanan mereka sebagai simbol muhibah kepada Turki.

Kenapa dasar AS berubah secara tiba-tiba?

Presiden Donald Trump telah sekian lama mahu memanggil pulang pasukan tentera AS dari Syria dengan menyatakan mereka perlu mengelakkan 'peperangan yang tiada kesudahan'.

Arahan pertama dikeluarkan pada Disember lalu, namun rancangan itu ditangguhkan selepas bekas Setiausaha Negara, James Mattis meletak jawatan sebagai tanda protes.

Komander tentera AS pernah memberi jaminan kepada pejuang Kurdish bahawa mereka akan terus mengekalkan keamanan di utara Syria.

Tetapi, Trump yang terkenal sebagai pemimpin flip flop mengubah pendirian sekali lagi ketika menghubungi Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada 6 Oktober lalu.

Beliau kemudiannya mengarahkan tentera AS meninggalkan kawasan itu.

Ia, sekali gus memberi akses terbuka kepada Turki terhadap wilayah Kurdish terbabit dan pasukan tentera negara itu bersama proksi mereka di Syria mula melancarkan operasi ketenteraan pada 9 Oktober lalu.

Adakah tentera AS sudah keluar sepenuhnya dari kawasan itu?

Bukan kesemuanya. Tentera AS hanya tinggalkan sebahagian kecil kawasan di sempadan Syria-Turki dan menempatkan mereka ke bahagian lain dikuasai Kurdish di Syria.

Tetapi, Pentagon mengarahkan kesemua tentera AS tinggalkan utara Syria selepas pasukan mereka hampir dibedil Turki secara tidak sengaja. Proses itu berkemungkinan besar mengambil masa selama beberapa hari.

Ketika ini, hanya sebuah pangkalan kecil tentera di selatan Syria kekal beroperasi.

Konflik yang semakin memuncak menyebabkan pentadbiran Trump mengancam untuk mengenakan sekatan ekonomi terhadap Turki malah ia juga menghentikan rundingan perdagangan bersama negara itu dan menggandakan tarif import terhadap import keluli dari Ankara.

Orang awam Kurdish meninggalkan bandar Kobani di sempadan Turki selepas Ankara meningkatkan operasi ketenteraan mereka.
Orang awam Kurdish meninggalkan bandar Kobani di sempadan Turki selepas Ankara meningkatkan operasi ketenteraan mereka.

Siapa dapat manfaat besar daripada keputusan Trump?

Pemenang utama adalah Turki dan proksi mereka di Syria yang berjaya menguasai lebih 194.24 kilometer persegi wilayah yang sebelum ini dikuasai Kurdish pada akhir minggu lalu.

Daesh juga dikatakan mungkin akan mengambil peluang daripada ketidakstabilan di kawasan itu selepas pejuang Kurdish disingkirkan Ankara dalam operasi ketenteraan tersebut.

Selain itu, kerajaan Bashar adalah antara pihak yang mendapat manfaat besar daripada konflik itu.

Pada Ahad lalu, pihak berkuasa Kurdish membenarkan tentera Syria kembali di sebahagian besar kawasan di utara Syria buat pertama kali dalam tempoh selama lebih separuh dekad.

Menerusi perjanjian rasmi yang dicapai antara Kurdish dan kerajaan, tentera Syria hanya akan membantu pejuang Kurdish mempertahankan kawasan itu manakala kegiatan harian orang awam masih diuruskan pentadbiran dipimpin puak terbabit.

Selain itu, keputusan AS memanggil pulang tentera mereka di utara Syria juga membolehkan Rusia dan Iran yang merupakan pelindung utama rejim Bashar mengembangkan pengaruh mereka di rantau terbabit.

Ketika ini, Moscow berhasrat menjadi perantara utama dalam rundingan antara Kurdish, Bashar dan Turki. - Agensi