Hipokrit Barat dan kemaraan Turki

A
A

SEMINGGU dua ini dunia Barat tiga kali ‘sakit hati’ dengan Turki. Terbaru, para pemimpin Perancis beramai-ramai bertindak mengkritik tindakan para pemain bola sepak Turki melakukan aksi ‘tabik’ tentera.

Dalam perlawanan itu, Turki berjaya memalukan Perancis buat kali kedua apabila mengikat juara dunia itu dengan keputusan seri 1-1 di tempat lawan – bahkan sebelum ini Turki berjaya mengalahkan Perancis 2-0 sekali gus menduduki tangga teratas kumpulan H kelayakan Euro 2020 mengatasi Perancis.

Sebenarnya para pemain Turki melakukan aksi tabik itu sebagai tanda solidariti bersama tentera Turki yang melancarkan serangan ke atas bekas proksi Amerika yang didominasi pengganas Kurdish, Syrian Democratic Forces (SDF) di Syria sejak minggu lalu.

Maka jika minggu lalu Amerika yang ‘sakit hati’ dengan Turki, kini giliran Perancis pula. Hakikatnya, sikap hipokrit Barat semakin tidak dapat dibendung lagi apabila beberapa negara Kesatuan Eropah mengkritik serangan Turki ini sedangkan EU yang sebenarnya mungkir janji kepada Turki tentang isu pelarian perang – janji yang dilakukan EU sejak 2017 lagi.

Serangan Turki ini cukup penting sekali untuk jangka masa panjang kerana ia melibatkan potensi imbangan kuasa pada masa hadapan: majoriti wilayah Utara dan Timur Syria yang bersempadan dengan Turki hari ini telah jatuh ke tangan pemberontak Kurdish SDF.

Merujuk pada peta Institute for the Study of War (Conflict Monitor by HIS Markit), wilayah Tenggara Syria didominasi pemberontak Kurdish, meski pun rejim Bashar al-Assad masih dominan di wilayah Syria yang lain kecuali di Barat Laut.

Pemberontak

Serangan Turki ke atas penguasaan SDF ini berkait rapat dengan sikap SDF yang sebelum ini memiliki rekod agresif dan ofensif terhadap Turki. Israel juga cukup kuat menyokong pemberontak Kurdish dan kewujudan negara Kurdish, kerana mudah untuk mereka memecah-belahkan rantau Asia Barat dan kuasa Islam di sana.

Malah Erdogan sendiri sedar peranan perisikan Israel di sebalik pemberontak Kurdish sebelum ini terutama sekali di Iraq.

Turki berulang kali menyatakan bahawa SDF bukan sahaja proksi Amerika yang mampu menggugat kestabilan di sempadan Turki-Syria, bahkan juga didalangi YPG dan memiliki pertalian dengan Parti PKK Kurdish yang sering melancarkan serangan berdarah di Turki.

Serangan ini juga menyusul selepas sekian lama Turki bersabar dengan penipuan Amerika dan proksi Kurdishnya di Syria itu. Selama ini Amerika cuba untuk memperdayakan Turki dengan cara membentuk pasukan rondaan gabungan Amerika-Turki di Utara Syria.

Sebenarnya cadangan Amerika itu hanyalah helah Washington untuk memberi masa dan ruang kepada proksi Kurdish mereka, SDF untuk mengukuhkan penguasaan di sempadan Turki-Syria. Rancangan Turki untuk mewujudkan zon keselamatan sejauh 30km telah diumumkan Erdogan di Perhimpunan Agung PBB pada September lalu.

Turki merancang 30-50km kawasan keselamatan dari sempadan Turki-Syria kerana ia mampu menjadi ruang dan peluang bagi menangani krisis 3 juta pelarian Syria. Rancangan Turki ini cukup penting bagi penempatan semula pelarian perang Syria yang selama ini menjadi mangsa peperangan.

Amerika sama seperti mana kuasa imperial dalam sejarah peradaban manusia yang lalu, cuba untuk melakukan pengubahan demografi dengan menyokong pemberontak Kurdish di Syria, sedang dalam masa yang sama menghalang rancangan Erdogan untuk menempatkan kembali 3 juta pelarian Syria di sana.

Akhirnya, selepas menerima tekanan Erdogan dalam satu perbualan telefon, pada 6 Oktober Presiden Trump terpaksa undurkan tentera Amerika akibat amaran keras kemaraan tentera Turki oleh Erdogan.

Maka pada 9 Oktober Operation Peace Spring bermula, Turki mula menyerang kubu SDF di Syria yang turut disertai operasi gabungan Turki dengan Tentera Kebangsaan Syria yang merupakan pasukan pembangkang rejim al-Assad (pro-Turki).

Semoga Operasi Peace Spring Turki ini berjaya dan jutaan pelarian Syria boleh ditempatkan di sempadan Turki-Syria ini. Ia bukan sahaja akan menamatkan dominasi pengganas Kurdish SDF-YPG di Utara dan Tmur Syria yang mengancam keselamatan Turki, bahkan juga menyumbang kepada pemulihan kembali dominasi demografi Arab Syria di sana.

*Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.