PH usaha bayar hutang kerajaan lama

No Image Caption
A
A
A

PEMBENTANGAN Laporan Ketua Audit Negara mengenai Penyata Kewangan kerajaan Persekutuan tahun 2018 mendedahkan sejumlah 59 peratus pinjaman baharu kerajaan adalah untuk membayar hutang kerajaan terdahulu.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Noraini Ahmad berkata, laporan Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid turut menyuarakan rasa bimbang berhubung keputusan kerajaan mendahulukan bayaran balik pinjaman dijamin dan matang bernilai RM2.839 bilion bagi pihak lima syarikat bertujuan khas (SPV) kerajaan.

Tekanan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sememangnya tidak dinafikan lagi apabila Laporan Ketua Audit Negara itu turut mengesahkan kedudukan keseluruhan hutang awam dan komitmen kewangan kerajaan Persekutuan adalah berjumlah RM1.021 trilion.

Daripada jumlah itu, hutang negara bernilai RM741.049 bilion manakala komitmen kewangan lain berjumlah RM280.171 bilion.

Jelas sekali, selepas berjaya membentuk kerajaan baharu pada 9 Mei tahun lalu, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad cuba sedaya upaya untuk memastikan kedudukan ekonomi berada dalam keadaan kukuh, lebih-lebih lagi ingin memastikan negara tidak menanggung terlalu banyak hutang.

Bagi rakyat, kita seharusnya mengambil sikap sabar untuk memberikan peluang dan masa kepada kerajaan bagaimana untuk menyelesaikan masalah hutang yang begitu banyak.

Ramai antara kita merungut kerajaan terlalu berhati-hati mengeluarkan sesuatu peruntukan kepada rakyat. Ini terbukti apabila beberapa bantuan dan sumbangan kepada rakyat sebelum ini dikurangkan malahan ada yang diberhentikan.

Selain itu, beberapa projek mega yang pada mulanya dirancang kerajaan lama kini sudah diberhentikan buat sementara waktu kerana didapati membazir dan tidak praktikal.

Artikel Berkaitan:

Inilah antara usaha kerajaan PH dalam mengurangkan hutang negara agar pertumbuhan ekonomi negara berada dalam landasan yang kukuh.

Sebagai rakyat yang ingin melihat negara mempunyai masa depan yang lebih cerah, kita perlu menyokong segala usaha yang dilakukan kerajaan ini. Janganlah kerana terlalu harapkan habuan kerajaan, negara pula dihimpit kemiskinan.