49 kematian kes denggi di Selangor

Sidang media berlangsung di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semalam.
Sidang media berlangsung di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor mencatatkan kes kematian denggi tertinggi di negara ini melibatkan 49 kematian daripada 57,980 kes bagi bacaan sehingga Minggu Epidemiologi ke-41 pada tahun ini.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, daripada jumlah itu, antara daerah yang mencatatkan kumulatif kes tertinggi adalah Petaling (21,858), Hulu Langat (12,245), Klang (10,698) dan Gombak (7,497).

Beliau berkata, pihaknya turut mengenalpasti sebanyak 122 lokaliti hotspot wabak denggi melibatkan empat daerah berkenaan.“Kerajaan negeri mengambil serius terhadap situasi terkini demam denggi di Selangor yang meningkat sebanyak 77 peratus berbanding tahun lalu,” katanya pada sidang media yang berlangsung di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) semalam.

Siti Mariah berkata, faktor utama kes denggi meningkat di negeri ini adalah berikutan kepadatan penduduk yang terlalu tinggi iaitu anggaran 6.52 juta orang mewakili 20 peratus kependudukan seluruh Malaysia.

Beliau berkata, pergerakan keluar masuk pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini juga boleh menjadi penyumbang kepada peningkatan kes demam denggi.

“Malah limpahan warga asing yang bekerja di sini turut menjadi antara faktor utama kerana pihak penguat kuasa seringkali mendapati kawasan persekitaran tempat kerja dan kediaman mereka menjadi lokaliti pembiakan nyamuk aedes,” katanya.

Menurutnya, bagi tahun ini terdapat tiga program baharu dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor iaitu Kempen Selangor Gempur Aedes 2019, Program Selangor Bebas Aedes di Tempat Kerja dan Kuarters serta Kawalan Biologi Menggunakan Wolbachia.

Artikel Berkaitan: