Kerja pembaikan Stadium Hoki Nasional bermula bulan depan

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman meninjau keadaan Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil yang dilaporkan mengalami kerosakan di permukaan padang, hari ini. - Foto Bernama
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman meninjau keadaan Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil yang dilaporkan mengalami kerosakan di permukaan padang, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MASALAH permukaan padang Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil yang dilaporkan mengalami kerosakan dijangka selesai dalam tempoh terdekat apabila pihak kontraktor membuat kerja-kerja pembaikan bermula bulan depan.

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dalam satu kenyataan memaklumkan mereka telah berhubung dengan pihak pembekal yang bersetuju untuk menggantikan permukaan padang secara percuma kerana padang tersebut masih dalam tempoh jaminan daripada pembekal.

"Kedua-dua padang tersebut (padang satu dan dua Stadium Hoki Nasional) akan diserahkan semula kepada syarikat pembekal pada 11 Februari depan untuk kerja-kerja penggantian dan dijangka siap pada 31 Mac 2019," jelas PSM.

Bagi memastikan masalah sama tidak berulang, PSM memaklumkan kakitangan mereka akan diberikan pendedahan dan latihan sewajarnya berkaitan penyelenggaraan padang tersebut , bertepatan dengan piawaian syarikat pengeluar ketika proses penyerahan semula padang berkenaan dilakukan.

"Berlanjutan daripada kerja-kerja pengubahsuaian itu, pihak pembekal akan berhubung terus dengan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk mendapatkan semula Persijilan Antarabangsa yang telah diterima sebelum ini.

Timbalan Presiden MHC, George Koshy dalam kenyataan yang sama, menyambut baik tindakan pantas yang diambil oleh PSM bagi menangani isu ini.

Beliau memaklumkan penggantian permukaan padang ini adalah tepat bagi memastikan skuad hoki negara dapat bermain dalam satu daripada tiga Siri Akhir FIH yang akan berlangsung dari 26 April hingga 4 Mei depan sebagai medan kelayakan Ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang melakukan lawatan ke Stadium Hoki Nasional, hari ini memberi jaminan pihaknya akan membuat pemantauan berhubung kerja-kerja pembaikan bagi memastikan masalah sama tidak berulang.

Artikel Berkaitan:

"Kita selalu buat pemantauan di setiap infrastruktur di Bandar Sukan Kuala Lumpur yang banyak diguna pakai, khususnya oleh atlet kita.

"Kita tidak mahu reaktif tapi bertindak lebih proaktif dan sebelum masalah itu timbul, kita dah cari jalan penyelesaian dan sebagai contoh, jangka hayat permukaan padang ini dapat dipertingkatkan dan boleh diguna pakai banyak pihak," tegas Syed Saddiq.

Beliau turut memaklumkan beberapa perlawanan Liga Hoki Malaysia termasuk saingan pembuka tirai Kejohanan Hoki Piala Tan Sri P. Alagendra yang bermula esok, dipindahkan ke venue lain. - Bernama