Debat Piala Tun Abdul Razak: KPM perlu tegas, jangan sekadar terima maaf

Mohd Azizee
Mohd Azizee
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Pendidikan (KPM) didesak mengambil tindakan tegas terhadap penganjur Pertandingan Debat Piala Tun Abdul Razak 2019 dan bukan sekadar menerima permohonan maaf.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan berkata, ini kerana pihak berkenaan dengan jelas telah mencabar sensitiviti agama dan perbuatan itu disifatkan melampau.

"Perbahasan tajuk debat berkenaan berkaitan kewajaran homoseksual dan penulisan al-Quran boleh mengundang kerosakan akidah para pelajar jika ia tidak dilatari dengan kefahaman yang betul dan tepat.

"iGuru melihat usaha ini sebagai proses doktrinisasi pemikiran liberal yang boleh menggugat jati diri pelajar jika ia tidak di pandang serius oleh pihak kerajaan, bukan sekadar terima permohonan maaf," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Menurutnya, debat adalah satu program yang baik dalam usaha melahirkan pelapis pemimpin berkaliber untuk masa depan negara.

Katanya, sepatutnya arena debat membincangkan tajuk berkaitan polisi dan dasar negara yang tidak melibatkan hal yang boleh mencetuskan polemik dan kontroversi.

"Debat adalah wadah untuk berhujah dan mengemukakan argumen bagi melahirkan pemimpin berkaliber dan bersemangat patriotik, namun ia tidak wajar menjadi pentas meracuni pemikiran pelajar dengan anasir liberalisme dan kebebasan tanpa had.

"Kita berharap semua pihak yang terlibat perlu mengambil kira sensitiviti agama dan pihak lain demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan semua pihak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian semalam melaporkan penganjur pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 yang diadakan di Seremban telah memohon maaf berikutan kritikan terhadap tajuk debat yang menyentuh soal Islam dan al-Quran sehingga mencetuskan rasa tidak selesa kepada pihak terlibat.

ARTIKEL BERKAITAN: Penganjur Debat Piala Tun Razak mohon maaf

KPM digesa ambil tindakan penganjur Debat Piala Tun Razak

Penganjur Debat Piala Tun Razak 2019 kena mohon maaf secara terbuka

Dalam kenyataan bersama Mohammad Aidil Ali dan Iyad Zakiy Amal yang merupakan Ketua Pengadil berkata, usul debat berkenaan hanya bersifat hipotetikal dan bukannya cubaan untuk membawa 'agenda liberal.'