[VIDEO] Mandi 'Sunway Lagoon' longkang imbau zaman kanak-kanak!

Paparan video dari Mohamad Al-Ikhsan Abd Jalil.
Paparan video dari Mohamad Al-Ikhsan Abd Jalil.
A
A
A

VIDEO empat remaja mandi di dalam longkang di Taman Idaman Kluang pastinya mengimbau kembali kenangan indah zaman kanak-kanak!

Buktinya, perkongsian video berdurasi 53 saat dimuat naik oleh Mohamad Al-Ikhsan Abd Jalil, 33, ditonton lebih 500,000 kali dan tular di media sosial hingga mencuri perhatian netizen.

Menurut Mohammad Al-Ikhsan, kejadian itu berlaku jam 4 petang ketika hujan lebat kembali reda.

"Seramai tujuh hingga lapan orang anak jiran saya bermain di padang taman. Kebetulan waktu itu air longkang penuh, mereka pun cuba la aksi kreatif itu.

"Budak-budak ini memang jenis suka bermain pada waktu petang. Cuma semalam air longkang penuh, mereka cuba menjadikan seperti di Sunway Lagoon.

"Air longkang ini sebenarnya tidak deras seperti mana dalam video. Ketika mereka nak mandi, tiga budak lelaki berbadan besar tahan air dari atas, bila mereka bangun, air yang terkumpul tu menjadi deras dan menolak budak yang di hadapan sekali," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, ketika kejadian dia tiada di lokasi namun mengetahui video itu daripada salah seorang remaja.

"Bila mereka tunjuk kat saya video tu, saya rasa memang rare dan teruja, panjang akal mereka ni.

Artikel Berkaitan:

"Gelagat mereka ini saling tak tumpah dengan kenangan ketika saya masih kecil, cuma bezanya di kampung ada parit, sungai. Kalau di taman hanya ada longkang saiz kecil dan tidak berbahaya.

"Percayalah, video ini akan menggamit memori indah mereka untuk dikongsi bersama generasi hari ini dan akan datang," katanya.

Mohammad Al-Ikhsan yang juga pengusaha sebuah kedai permainan video, begitu teruja kali pertama melihat kreativiti remaja tersebut yang berbeza dari kebiasaan.

"Biasanya budak-budak zaman kini lebih suka pegang telefon, bermain game dan gemar duduk dalam rumah.

"Tetapi berbeza dengan budak taman ini, mereka suka bermain bola di padang dan melakukan aktiviti baru seperti mandi di dalam longkang. Walau kadang kala mereka ini nakal, sering dimarah keluarga tetapi pengalaman itu lah mendewasakan mereka," katanya.

Mohammad Al-Ikhsan bagaimanapun mengakui perbuatan sekumpulan remaja itu boleh mendatangkan kecelakaan sekiranya tidak berwaspada.

"Sejak muat naik video di Facebook ada juga menerima komen negatif menyifatkan perbuatan budak-budak itu berbahaya.

"Ibu bapa dan jiran-jiran juga ada yang marah, malu. Namun pandangan saya, netizen yang komen berbahaya itu memang logik cuma longkang di taman ini tidak berbahaya," katanya.

Jelas Al-Ikhsan lagi, perkongsian video itu di Facebook hanya sekadar untuk berseronok namun tidak menyangka ia tular hingga mendapat pujian mahupun kecaman.

"Saya post di Facebook sekadar suka-suka sebab seronok masih ada lagi budak-budak yang main macam ni...

"Zaman sekarang ini memang zaman gajet, budak-budak pun tak lasak... jadi bila saya tengok video ini, saya pun share lah di Facebook dan tak sangka ia tular," katanya.

Memenuhi ruang komen Facebook, Nur Atikah berkata, "Jangan risau. Kalau budak tu terlemas dalam longkang, si gemok tu boleh tahan air dari atas. Semua kawan-kawan ada fungsi tersendiri sebelum main. Mungkin yang pertama meluncur tu adalah pakar inspection"

Kata Asyraf Zahran,"Tahniah kerana menikmati zaman kanak-kanak anda, balik sama ada kena 'hanger' ataupun tali pinggang... berseronok dulu bersakit kemudian."