Ada arahan perbualan telefon dengan Najib tidak direkodkan: Saksi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas pengarah dan pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Mohd Bakke Salleh mengarahkan supaya perbualan telefon antara beliau dengan Datuk Seri Najib Tun Razak semasa mesyuarat usahasama 1MDB-PetroSaudi International Ltd (PSI International) pada 2009 tidak direkodkan.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB yang dipengerusikan oleh Mohd Bakke pada 26 September 2009 itu diadakan bagi membuat keputusan sama ada pihak lembaga akan meneruskan usahasama antara dua syarikat berkenaan.

Semasa pemeriksaan balas oleh ketua pihak pembelaan Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Shahrol Azral, 49, berkata, mesyuarat itu turut dihadiri oleh ahli perniagaan yang sedang diburu Low Taek Jho atau Jho Low, atas jemputannya.

"Saya jemput Jho Low ke mesyuarat itu supaya dia dapat memberikan penjelasan terus kepada BOD mengenai intipati yang berkaitan PSI International, bagaimana ia adalah inisiatif Government-to-Government (G2G) dan bagaimana ia boleh muncul. Di awal mesyuarat lagi Mohd Bakke menerima panggilan telefon yang didail oleh Jho Low sebelum diserahkan kepadanya.

"Sebaik menerima telefon dari Jho Low, Mohd Bakke berkata, ‘PM’ kepada kami dan terus meninggalkan kami di bilik itu. Apabila dia kembali saya tidak ingat dengan tepat kata-katanya, tapi yang penting adalah dia beritahu yang dia bercakap dengan Datuk Seri Najib, dan dia (Najib) beritahunya bahawa ia adalah inisiatif G2G, tidak boleh dilewatkan, atau katanya ‘disegerakan’,” katanya.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata, semasa Mohd Bakke memberikan maklumat berkenaan kepada BOD, mereka menganggapnya sebagai sesuatu yang amat penting, yang membawa kepada jumlah soalan yang sedikit sahaja yang dibangkitkan oleh BOD mengenai penilaian aset.

"Mohd Bakke kemudiannya mengarahkan supaya panggilan telefon itu tidak direkodkan dalam minit mesyuarat. Kalau tidak silap, saya malah mencadangkan supaya audio mesyuarat dirakam, namun dia (Mohd Bakke) tidak bersetuju,” katanya.

Semasa ditanya lagi oleh Muhammad Shafee, Shahrol Azral menjelaskan bahawa 1MDB meneruskan usaha sama 1MDB-PSI itu, tanpa mengesahkan nisbah pemegang saham antara dua syarikat.

Artikel Berkaitan:

“Ketika itu kami sudah ada penilaian indikatif yang membolehkan kami melaksanakan penilaian lebih terperinci kemudiannya. Perkara utama yang penting di sini ialah ia memang sebenarnya transaksi G2G, di mana Najib mahukan supaya ia berjalan lancar, dan perkongsian dengan Saudi adalah amat penting sekali.

“Pemilikan saham sudah mencapai nisbah 60:40, namun rasionalnya ialah 40 peratus milik kami akan dicairkan sekiranya penilaian mereka lebih tinggi. Kami meneruskannya berdasarkan G2G dan kami akan mempunyai keupayaan untuk merundingkannya lagi selepas itu,” katanya.

Shahrol Azral berkata, BOD meneruskannya dengan asas bahawa ini adalah pihak yang baik dan diiktiraf oleh Najib.

Terdahulu semasa ditanya peguam, saksi itu bersetuju beliau tidak dapat mengesahkan rekod sejarah PSI International sebelum membentangkan maklumat mengenai syarikat tenaga itu kepada BOD.

Shahrol Azral berkata PSI International mendakwa mereka memiliki projek di Eropah, Amerika Latin, dan Asia Tengah, berdasarkan kepada maklumat ringkas syarikat yang disediakan, namun dia tidak pernah berusaha mendapatkan bukti yang cukup.

"Saya tidak lihat sebarang laporan tahunan, kami banyak bergantung kepada maklumat yang diserahkan oleh PSI,” katanya.

Saksi utama pihak pendakwaan itu juga tidak menolak kemungkinan bahawa Najib mungkin ditipu oleh Jho Low yang digambarkan beliau sebagai 'Pengarah Orkestra'.

"Sejujurnya sukar bagi saya membuat komen daripada ruang saya yang terbatas. Kerja-kerja manipulasi dilakukan dengan penyamaran yang yang baik seperti “ini untuk kebaikan negara, untuk kebaikan perdana menteri”, tapi saya tidak tahu apa yang perdana menteri tahu ketika itu, jadi sukar untuk saya beri sebarang komen,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan juga menghadapi 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama