2,475 kes pembuangan kerja, pertikaian perusahaan diselesaikan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia memaklumkan sebanyak 2,475 daripada 4,430 kes melibatkan pembuangan kerja dan pertikaian perusahaan telah diselesaikan sehingga 25 September lalu.

Kementerian itu berkata, ini menjadikan baki kes yang masih dalam tindakan Mahkamah Perusahaan adalah sebanyak 1,955 kes, yang meliputi kes yang masih menunggu perbicaraan (1,497 kes), menunggu keputusan (215), menunggu hujahan (182) dan semakan kehakiman (61).

“Berdasarkan rekod jabatan bagi tahun 2017, daripada 4,274 kes yang dikendalikan, sebanyak 1,655 kes telah diselesaikan (38.7 peratus). Bagi tahun 2018, jumlah penyelesaian kes telah meningkat dengan daripada 5,771 kes yang dikendalikan sebanyak 3,181 kes telah berjaya diselesaikan (55.1 peratus),” menurutnya dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman web rasmi Parlimen, hari ini.

Kementerian itu menjawab soalan Su Keong Siong (PH-Kampar) yang ingin tahu jumlah kes tertunggak di Mahkamah Perusahaan untuk penyelesaian kes di antara majikan dengan pekerja dan sejauh mana langkah atau inisiatif diambil untuk mempercepat penyelesaian kes-kes itu.

Menurut kementerian itu, antara langkah yang diambil Mahkamah Perusahaan adalah dengan menggunakan pendekatan Alternative Dispute Resolution (ADR) melalui kaedah perantaraan atau penilaian awal untuk mempercepatkan penyelesaian kes.

“Selain itu, Mahkamah Persekutuan turut mewajibkan penggunaan sistem ePemfailan dan ePenyerahan yang berkuat kuasa 1 Jan lepas, di mana dengan wujudnya sistem ini, proses pengurusan kes dijalankan lebih kemas, cepat dan dokumen yang dikehendaki boleh dihantar terus melalui dalam talian sahaja,” kata kementerian itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: