PKS digesa sertai skim perolehan kerajaan

Chieng Jen
Chieng Jen
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digesa menyertai skim perolehan kerajaan menerusi sistem e-Perolehan memandangkan ia merupakan yang terbesar dalam pasaran domestik.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata, PKS perlu memanfaatkan perbelanjaan mengurus kerajaan berjumlah RM241 bilion dalam Belanjawan 2020 yang termasuk untuk tujuan perkhidmatan dan bekalan serta perbelanjaan lain.

Beliau berkata, angka itu merupakan jumlah yang amat besar, justeru itu penyertaan PKS dalam skim perolehan kerajaan sudah tentu akan meningkatkan lagi penggunaan domestik dalam ekonomi tempatan.

“Ini merupakan satu peluang kepada PKS untuk mencatatkan prestasi lebih baik memandangkan mereka boleh membekalkan barangan dan perkhidmatan kepada pejabat kerajaan, sekali gus kerajaan mempunyai pilihan dan sebut harga daripada lebih ramai peserta skim itu,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) mengenai Beli Barangan Malaysia: Memahami Perolehan Kerajaan Malaysia di sini hari ini.

Chieng Jen berkata, PKS perlu membetulkan salah anggapan terhadap perolehan kerajaan yang dianggap satu proses yang lambat, memerlukan banyak syarat selain dicemari rasuah, yang menghindari kebanyakan PKS daripada menyertainya.

“Proses itu tidak sukar seperti yang mereka anggap, PKS hanya perlu mengikut senarai semak prosedur dan ia akan diproses secara teratur.

“Kerajaan kini mengamalkan pendekatan yang lebih bersifat rundingan, ia sewajarnya menjadi lebih mudah bagi PKS memandangkan kerajaan sedang menjalani pembaharuan secara sistematik,” katanya.

Beliau juga menggesa PKS supaya tidak terlalu bergantung kepada pekerja asing dan mula menggantikan warga asing dengan pekerja tempatan untuk membantu merangsangkan ekonomi dan penggunaan domestik.

Artikel Berkaitan:

“Saya pernah menjadi majikan. Oleh itu saya memahami cabaran dan kesukaran yang dihadapi namun, jika kita bermula sekarang, kita akan menyaksikan impak positif ke atas negara dalam tempoh 10 tahun iaitu penggunaan domestik akan lebih tinggi dan pekerja anda juga akan menjadi pelanggan dan pengguna anda pada masa sama,” katanya.

Sementara itu, Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, pihaknya dalam usaha menggalakkan lebih ramai anggotanya menyertai perolehan kerajaan menerusi penganjuran jelajah persidangan di semua cawangan di seluruh negara.

Beliau berkata, selain itu penting untuk dasar Beli Barangan Malaysia dilaksanakan secara serius oleh semua agensi di peringkat Persekutuan dan negeri.

“Kita perlu bekerja bersama-sama meningkatkan keyakinan terhadap produk keluaran Malaysia dan menerusi pendekatan lebih telus diamalkan kerajaan, kita boleh bersaing dengan syarikat luar negara dengan syarat kita bersedia dari semua segi dan menerima guna Industri 4.0 termasuk automasi dan data raya,” katanya.

Thian Lai juga berkata, cadangan kerajaan untuk menawarkan pakej insentif pelaburan khas bernilai RM1 bilion setahun untuk tempoh lima tahun bertujuan agar syarikat tempatan dapat menembusi pasaran luar negara dalam Belanjawan 2020, contohnya, akan melonjakkan jumlah eksport Malaysia dan meningkatkan aspirasi peluasan antarabangsa PKS. - Bernama