Kualiti Alam tidak boleh ditutup serta merta: Aminuddin

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan bersedia memberikan masa secukupnya kepada kerajaan Persekutuan dalam usaha memindahkan Pusat Kualiti Alam di Sendayan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bagaimanapun Pusat Kualiti Alam itu tidak boleh ditutup serta merta berikutan perlu mengambil kira pelbagai aspek.

"Pendirian kita masih sama iaitu memindahkan Pusat Kualiti Alam susulan lokasi tersebut tidak lagi sesuai untuk beroperasi bagaimanapun bukanlah bermaksud tutup serta merta berikutan mengambil kira pelbagai aspek.

"Jika kita berbuat demikian (tutup serta merta) di mana pengusaha ataupun industri terlibat akan menghantar sisa berjadual mereka dirawat?

"Kita boleh tutup pusat itu sekarang tapi bagaimana keadaan di luar sana, di mana buangan terjadual ini hendak dilupuskan.

“Implikasinya buangan terjadual ini akan dibuang ke dalam sungai, laut, tasik dan sebagainya. Ini akan membahayakan rakyat lagi. Itulah sebabnya kita kata ia mengambil masa untuk kajian, tetapi yang penting kerajaan negeri sudah sampaikan mesej dengan jelas kepada kerajaan Persekutuan," katanya.

Terdahulu, loji insinerator terakhir yang menguruskan operasi pelupusan sisa berjadual di Pusat Kualiti Alam dekat Sendayan, Negeri Sembilan akan ditutup sebelum 2025.

Keputusan itu seiring tekad kerajaan untuk beralih kepada penggunaan teknologi moden dalam menguruskan pelupusan sisa berjadual selain mencerminkan usaha Malaysia mengorak langkah ke arah mencapai status negara maju.

Artikel Berkaitan:

Semalam Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, dilaporkan berkata, penutupan operasi dua insinerator Pusat Kualiti Alam itu adalah langkah tepat kerana ia menggunakan teknologi lama, di mana pelepasan gas dari insinerator itu mengundang lebih banyak kesan pencemaran berbanding teknologi moden, iaitu sisa pepejal kepada tenaga (WTE).