Gitaris kumpulan rock Iban popular maut kemalangan

Mangsa berusia 36 tahun dipercayai tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Kanowit. - Foto Astro Awani
A
A

KANOWIT - Pemain gitar bass kumpulan rock Iban popular Tamang Raja, Febrenus Harry Usup atau lebih dikenali dengan mana Fred Venus maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 25, Jalan Poi-Majau dekat sini, lewat petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, pihak polis dari Balai Polis Kanowit telah menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan satu kemalangan melibatkan sebuah kereta terbabas sendiri berhampiran kawasan Sungai Poi.

Ketua Polis Daerah Kanowit, Deputi Superintendan Tega Bilong berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Axia yang dipandu mangsa, terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum terjunam ke dalam parit.

"Hasil siasatan awal mendapati mangsa yang memandu bersendirian dalam perjalanan dari arah Ngemah menuju ke Sibu apabila berlakunya nahas itu," katanya.

Kereta yang dipandu mangsa dipercayai terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum terjunam ke dalam parit. - Foto Astro Awani
Kereta yang dipandu mangsa dipercayai terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum terjunam ke dalam parit. - Foto Astro Awani

Kejadian itu menyebabkan mangsa berusia 36 tahun tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Kanowit.

Menurut Tega, isteri mangsa ada memaklumkan suaminya mengadu sakit dada sebelum kejadian dan dipercayai mangsa terkena serangan jantung ketika kemalangan berlaku.

Febrenus meninggalkan seorang isteri dan seorang anak lelaki yang masih bayi, laporan Astro Awani.

Sementara itu, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit yang tiba di tempat kejadian pada jam 7.30 petang.

Pasukan bomba telah berjaya mengeluarkan mangsa dari kenderaan sebelum diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Kanowit untuk dibedah siasat.

Beliau menambah, kes tersebut disiasat mengikut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ)1987.

Frebenus bersama lima ahli lain menubuhkan kumpulan band Tamang Raja yang popular dengan lagu hit single bahasa Iban seperti 'Tikas Pengerindu', 'Nama Kebuah Nuan Enda Madah' dan 'Asai Ka Gila'.

Lagu popular mereka 'Asai ka gila' pernah menduduki carta Top 10 Cats FM iaitu dalam 'Cats Xposed Ethnic Division 'April tahun lepas.

Sementara, lagu single band kelahiran Sibu ini berjudul 'Tikas Pengerindu' pernah menduduki tangga teratas Anugerah Carta Sapa Juara 2016 (ACSJ 2016).