Kastam Kedah rampas 100,512 tin arak bernilai RM1.01 juta

Johari berada di hadapan sebuah kontena yang mengandungi minuman keras pelbagai jenama yang dirampas pihaknya di Pelabuhan Utara, Port Klang, Selangor.
Johari berada di hadapan sebuah kontena yang mengandungi minuman keras pelbagai jenama yang dirampas pihaknya di Pelabuhan Utara, Port Klang, Selangor.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebanyak 100,512 tin arak pelbagai jenama bernilai RM1.01 juta termasuk cukai berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah ketika cuba diseludup masuk ke negara ini melalui Pelabuhan Utara, Port Klang Selangor pada 10 Oktober lalu.

Pengarah Kastam Kedah, Datuk Johari Alifiah berkata, minuman keras tersebut dijumpai dalam dua buah kontena berukuran 20 kaki setiap satu hasil pemeriksaan sepasukan anggota JKDM dari Cawangan Alor Setar kira-kira jam 10.15 pagi.

Menurutnya, modus operandi kes tersebut ialah mengikrar barang dagangan secara tidak benar di dalam borang kastam 1 dan maklumat barang dagangan yang diikrar di dalam manifest.

"Di dalam borang ikrar diistiyharkan barangan pendingin hawa tetapi apabila diperiksa adalah minuman keras pelbagai jenama.

Johari (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan minuman keras yang dirampas pihaknya di Kompleks JKDM Kedah hari ini.
Johari (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan minuman keras yang dirampas pihaknya di Kompleks JKDM Kedah hari ini.

"Pelabuhan terakhir kontena ini sebelum dihantar ke sini adalah di Jepun dan kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport atau mengeksport barang tak berkastam atau apa-apa barang-barang larangan," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah hari ini.

Johari berkata, kontena tersebut berada di Pelabuhan Utara lebih 48 jam dan pihaknya percaya minuman itu adalah untuk pasaran tempatan di seluruh negara.

Katanya, bagi kesalahan pertama boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda dari nilai barang dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

"Manakala bagi kesalahan kedua atau seterusnya, boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 20 kali ganda nilai barang dan tidak lebih 40 kali ganda nilai barang atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Tambahnya, pihaknya meminta orang awam memberi kerjasama kepada JKDM dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan kerana aktiviti ini menyebabkan kerugian kepada negara.