[VIDEO] Penduduk mengamuk tak dapat rumah

Penduduk berkumpul di luar dewan dan menyatakan ketidakpuasan hati kerana nama mereka tidak tersenarai dalam senarai penerima.
Penduduk berkumpul di luar dewan dan menyatakan ketidakpuasan hati kerana nama mereka tidak tersenarai dalam senarai penerima.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Lebih 50 penduduk berang selepas mendakwa nama mereka sebagai penduduk asal Kampung Permatang Tok Suboh tiada dalam senarai penerima Projek Perumahan Rakyat (PPR) Permatang Tok Suboh di sini.

Wakil penduduk, Rosli Sukor, 43, berkata, mereka sangat kecewa apabila mendapati nama mereka tidak tersenarai sedangkan sudah memohon untuk pemilikan rumah tersebut sejak enam bulan lalu.

Menurutnya, mereka bertambah berang apabila mendapati beberapa penduduk daripada 80 penerima telah dikenalpasti bukan penduduk asal kampung tersebut.

"Kami amat kecewa apabila mendapati nama kami tidak tersenarai dalam senarai penerima rumah PPR Permatang Tok Suboh ini sedangkan kami penduduk asal kampung ini. Mengapa dalam 80 penerima ini, ada yang bukan dari kampung sini?.

"Kami sebagai anak jati Kampung Tok Suboh, kecewa tak dapat rumah. Siang malam kami berdoa nak duduk rumah ini tetapi akhirnya orang luar yang dapat. Siapa yang tak sedih?.

"Kami juga ada membuat permohonan melalui Perda ( Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang) enam bulan lalu tetapi malangnya nama kami tidak tersenarai hari ini," katanya kepada Sinar Harian tadi.

Zuraida sedang menerangkan tentang jalan penyelesaian yang akan diambil terhadap masalah penduduk terlibat.
Zuraida sedang menerangkan tentang jalan penyelesaian yang akan diambil terhadap masalah penduduk terlibat.

Artikel Berkaitan:

Kesemua mereka berkumpul di luar Dewan Serba Guna PPR Permatang Tok Suboh ketika majlis penyerahan surat tawaran Skim Perumahan Secara Sewa Beli PPR Permatang Tok Suboh kepada 20 penerima yang disempurnakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Kekecohan itu bagaimanapun berjaya ditenangkan pegawai Zuraida dengan memberi jaminan bahawa menteri tersebut akan membuat perjumpaan dengan penduduk terlibat selepas melawat salah sebuah rumah PPR.

Sementara itu, Zuraida berkata, selepas membuat perjumpaan itu, beliau mendapati semua penduduk tersebut membuat permohonan dengan Perda menyebabkan maklumat permohonan tidak dimaklumkan kepada Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri.

Menurutnya, selain itu, penduduk juga tidak diberi maklumat yang betul berhubung permohonan menyebabkan mereka berang selepas mendapati nama mereka tidak tersenarai dalam senarai penerima.

"Setelah mendapat maklum balas daripada penduduk, kita mendapati mereka memohon melalui Perda. Sudah tentu kerajaan negeri tidak mempunyai maklumat tersebut kerana tiada komunikasi antara Perda dengan bahagian perumahan dan Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Untuk berlaku adil, saya telah mengarahkan seorang pegawai bahagian perumahan negeri mengambil permohonan kesemua penduduk untuk ditapis. Bagaimanapun, saya menegaskan saya tidak berjanji bahawa semua penduduk yang memohon akan dapat rumah kerana pemilihan akan dibuat mengikut syarat kelayakan," katanya.

Zuraida (tengah) melawat rumah PPR Permatang Tok Suboh yang sudah siap untuk diduduki.
Zuraida (tengah) melawat rumah PPR Permatang Tok Suboh yang sudah siap untuk diduduki.

Menurutnya, jumlah keseluruhan rumah PPR itu adalah 231 yang mana 80 penerima telah dikenalpasti manakala bakinya masih dalam semakan dan belum dibuat tapisan terakhir.

"Permohonan mereka akan diberi keutamaan dan sekiranya mereka tidak dapat dalam PPR Permatang Tok Suboh ini, nama mereka akan dimasukkan dalam senarai menunggu. Jika selepas ini ada PPR di kawasan lain, nama mereka ini akan diberi keutamaan.

"Ini yang saya cakapkan dengan mereka tadi dan telah dipersetujui. Mereka agak berpuas hati kerana mereka mendapat maklumat yang tidak tepat sebelum ini," katanya.

Dalam pada itu, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jagdeep Singh Deo berkata, keutamaan akan diberikan kepada mereka yang telah diarahkan untuk berpindah.

PPR Permatang Tok Suboh yang dibina pada 24 Oktober 2012 mempunyai keluasan 700 kaki persegi telah siap 21 Disember 2017.

Rumah teres tiga buah bilik itu mempunyai berkeluasan 700 kaki persegi dengan harga jualan RM49,000 yang dibuat melalui skim sewa beli.

Penduduk yang layak perlu membayar RM205 sebulan selama 20 tahun.