Jumlah stesen kargo ECRL belum dimuktamad: Anthony Loke

Anthony Loke ketika menjawab soalan para pengamal media pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. -Foto Bernama
Anthony Loke ketika menjawab soalan para pengamal media pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah stesen kargo bagi perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) masih belum dimuktamadkan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, ia berikutan beberapa jajaran ECRL masih belum diputuskan dan pihaknya akan berbincang dengan kerajaan negeri terlibat bagi menentukan penempatan stesen kargo tersebut.

"Kami akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk melihat perancangan mereka di mana nak bangunkan kawasan perindustrian...misalnya di Negeri Sembilan di stesen berdekatan Nilai kami perlu naikkan kawasan itu sebagai stesen kargo.

"Apabila kami nak siapkan jajaran ECRL ini, kami jadikan sebagai satu tool untuk kami bangunkan ekonomi di sepanjang jajaran yang dilalui ECRL...kami akan pastikan di setiap negeri ada stesen yang akan dijadikan stesen kargo," katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) yang ingin tahu pilihan stesen perkhidmatan ECRL yang dikhaskan untuk membawa kargo.

Ketika menjawab soalan asal Teh Kok Lim (PH-Taiping) yang ingin tahu perancangan pihak kementerian dalam menggalakkan pengangkutan kargo menggunakan kereta api bagi mengurangkan kos pengangkutan, Anthony berkata, beberapa inisiatif sedang dan akan dilaksana bagi memperkasa perkhidmatan tersebut.

Beliau berkata, antara inisiatif dilaksanakan ialah membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur landasan di Pantai Timur (Gemas-Tumpat), Lembah Klang, Kempas Baru-Pasir Gudang dan Landasan Cawangan Pelabuhan Klang Utara dengan kos keseluruhan RM8.3 bilion.

Selain itu, jelasnya, kerajaan meneruskan pelaksanaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru bagi melengkapkan sektor Pantai Barat Semenanjung dengan infrastruktur kereta api moden, perkhidmatan tren penumpang dan kargo yang selamat, pantas dan efisyen.

Artikel Berkaitan:

"Projek yang menelan belanja RM10.5 bilion ini dijangka siap pada Oktober 2021," katanya.

Beliau berkata, sehingga Ogos lalu, purata perkhidmatan kargo adalah sebanyak 28 larian tren sehari dengan muatan kargo 0.5 juta tan sebulan yang antaranya terdiri daripada komoditi kontena, landbridge, simen dan gula. - Bernama