JKM kesan waris seorang bayi, dua kanak-kanak perempuan

Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengesan waris kepada seorang bayi dan dua kanak-kanak perempuan.
Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengesan waris kepada seorang bayi dan dua kanak-kanak perempuan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengesan waris serta ibu kandung kepada seorang bayi lelaki dan dua kanak-kanak perempuan yang ditinggalkan.

JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerusi satu kenyataan berkata, ibu kandung kepada seorang bayi lelaki ini sudah dikesan namun masih gagal menemuinya.

Menurutnya, ibu kepada bayi itu dikenali Norzaliza Mohd Hatar berumur lingkungan 37 tahun.

"Norzaliza telah meninggalkan anak kandungnya selepas bersalin di Hospital Bersalin Kuala Lumpur pada 7 Ogos 2019.

"Pihak jabatan telah mencuba mengesan wanita tersebut di alamat terakhir namun gagal menemuinya," katanya.

Katanya, JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga mengalu-alukan waris atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat wanita ini untuk menghubungi pelindung kes ini iaitu Mohd Fitri Mohamed Noor di talian 03-2612 4000 (sambungan 4122).

Bagi kes kedua, Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut mengesan wanita warga asing yang merupakan ibu kandung kepada seorang kanak-kanak perempuan di sini.

Menurut JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kanak-kanak dikenali sebagai Dhanya Shree dilahirkan pada 12 Jun 2008 di Sentul Medical Centre Kuala Lumpur oleh seorang wanita warganegara Filipina yang dikenali dengan nama Pariani.

Artikel Berkaitan:

"Kanak-kanak telah dijaga oleh M Sushilan Nair sehingga berusia satu tahun.

"Selepas M Sushilan Nair meninggal dunia pada 28 Julai 2009, kanak-kanak ini dijaga pula oleh adik mendiang, M Subreena Nair," katanya.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diberikan oleh M Subreena Nair, kanak-kanak itu merupakan anak biologi kepada abangnya bersama Pariani namun mereka tidak berkahwin secara sah.

"Pariani melarikan diri selepas melahirkan anaknya dan tidak dapat dihubungi sehingga kini.

"M Subreena Nair menghadapi masalah berkaitan urusan persekolahan Dhanya Shree serta perkara lain kerana tidak mempunyai hak penjagaan yang sah," katanya.

Menurutnya, mana-mana individu yang mengenali ibu kandung dan waris kanak-kanak ini boleh menghubungi pelindung kes ini iaitu Isnawati Abu Bakar di talian 03-26124000 (sambungan 4078).

Bagi kes ketiga, Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengesan waris seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) bernama Fatin Najwa Abdul Fattah, 7, bagi urusan penempatan dan kebajikan.

Menurut JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kanak-kanak ini ditinggalkan oleh ibu dan nenek kandung di bawah jagaan pengasuh sejak tahun 2012.

"Kanak-kanak ini dikategorikan sebagai OKU fizikal iaitu celebral palsy ouadriplegia dan muscles tightness.

"Kanak-kanak ini ditempatkan di Taman Sinar Harapan Jitra, Kedah sehingga kini," katanya.

Katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat ibu kandung atau waris kanak-kanak untuk menghubungi pelindung kes ini iaitu Noor Afdzan Mohd Sahandri Gani di talian 03-26124000 (sambungan 4129) atau hadir ke Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Tingkat 9, Grand Seasons Avenue, Jalan Pahang 50564 Kuala Lumpur.