Kolaborasi lahirkan graduan penuhi pasaran kerja

Mukhriz (tiga, kanan) beramah mesra dengan sebahagian pelatih yang mengikuti program ‘Future Leaders’.
Mukhriz (tiga, kanan) beramah mesra dengan sebahagian pelatih yang mengikuti program ‘Future Leaders’.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan bersama pemain industri dan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memastikan graduan Kedah memenuhi keperluan pasaran kerja dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kolaborasi itu akan dimeterai secepat mungkin supaya Kedah bersedia menerima graduan terlatih apabila projek-projek mega yang dirancang mula beroperasi.

“Kedua-dua pihak akan bincang butiran lanjut, saya harap pelajar yang masih menuntut di IPT dibenarkan mendapat latihan sambil bekerja di industri mengikut keperluan walaupun program ini sudah ada namun tempoh enam bulan terlalu singkat untuk mahir dan memahami keperluan industri.

“Kerjasama dua pihak ini diyakini memberi kesan positif selain mendedahkan graduan kepada kemahiran yang diperlukan oleh industri,” katanya, selepas penyerahan watikah pelantikan program ‘Future Leaders’ di Wisma Darul Aman, hari ini.

Mukhriz berkata, pihaknya akan mencadangkan supaya apa yang didedahkan kepada pelajar dianggap sebahagian daripada kurikulum mata pelajaran dan diberikan kredit sebagai kelayakan memperoleh sijil.

“Saya harap kerjasama ini dapat dimulakan seawal mungkin kerana kita ada pelbagai perancangan bangunkan Kedah antaranya wujudkan taman industri baru, Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), projek logistik di Bukit Kayu Hitam untuk tawarkan pekerjaan kepada graduan,” katanya.

Menurutnya, diharap IPT juga boleh memberi tumpuan kepada jurusan yang berkaitan dengan perancangan Kedah dalam tempoh empat tahun akan datang.

“Jika ia berjalan lancar, dalam tempoh itu atau sekurangnya tiga hingga lima tahun, kita sudah miliki graduan terlatih yang boleh diserap memenuhi peluang kerja yang kita sediakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Seramai 30 lepasan IPT daripada 300 permohonan berpeluang menyertai program enam bulan ini yang akan ditempatkan di beberapa jabatan dan agensi kerajaan termasuk GLC.