2 beranak dikerat lapan: Polis siapkan kertas siasatan

Suspek utama, lelaki warga Singapura yang disyaki terbabit kes pembunuhan tragis dua beranak yang dikerat dan dibuang di kawasan semak di Kampung Ladang, Krubong direman sejak Sabtu lalu.
Suspek utama, lelaki warga Singapura yang disyaki terbabit kes pembunuhan tragis dua beranak yang dikerat dan dibuang di kawasan semak di Kampung Ladang, Krubong direman sejak Sabtu lalu.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes pembunuhan dua beranak dikerat lapan yang ditemui di ladang semak, Kampung Ladang, Perindustrian Krubong, Khamis lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim, berkata, kes masih dalam siasatan dan polis sedang melengkapkannya.

"Kita tidak mahu mendedahkan butiran lanjut mengenai penemuan anggota badan di lokasi terbabit kerana bimbang akan mengganggu proses siasatan atau pertuduhan.

"Dalam kes ini saya perlu adil dengan semua pihak dan telah banyak kenyataan dikeluarkan, tunggu siasatan selesai Insya ALLAH kita akan maklum," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ditanya sama ada suspek utama, lelaki warga Singapura itu telah di bawa ke rumah sewa di mana bahagian kepala dua beranak itu dipercayai ditemui, beliau enggan mengulas lanjut dan hanya menjawab tunggu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Burhanuddin Bachik berkata, bagi kes ini pihak akan membuat yang terbaik bagi membantu keluarga mangsa termasuk ibu mangsa, Fatimah Latiff, 60, yang juga seorang balu dan menghidap kanser otak.

"Kaunseling akan diberikan kepada ahli keluarga iaitu sesiapa sahaja dalam keluarga yang trauma atau terkesan dengan insiden itu," katanya.

Kelmarin, Mat Kasim mengesahkan 98 peratus siasatan hampir selesai sebelum pertuduhan dibuat dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini menyiarkan dua beranak dipercayai dibunuh sebelum sebahagian anggota badan dicampakkan di kawasan semak berhampiran Kampung Ladang, Krubong dan bahagian kepala dua beranak itu dipercayai ditemui di atas loteng oleh pihak polis yang menjalankan siasatan di rumah sewa mangsa di Taman Merdeka Jaya, Jumaat lalu.

ARTIKEL BERKAITAN Kepala disyaki milik dua beranak dikerat lapan ditemui

Suspek bunuh, kerat lapan direman 7 hari