Dua lelaki disyaki samun kedai serbaneka ditahan

No Image Caption
A
A
A

KOTA TINGGI - Dua lelaki disyaki terlibat beberapa kes samun kedai serbaneka 24 jam di sekitar daerah Kota Tinggi ditahan di Kampung Malan di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, kedua-dua suspek berusia 20 dan 25 tahun itu dipercayai terbabit dengan kegiatan berkenaan sejak pertengahan September lalu.

“Kita percaya kedua suspek ini mempunyai kaitan dengan kes samun pada 5 Oktober lalu, siasatan juga mendapati kejadian itu mempunyai kaitan dengan kes sama di sebuah kedai serbaneka di Taman Daiman Jaya pada 29 September lalu.

“Suspek kemudiannya dikesan petugas dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di Kampung Makam sebelum diberkas,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Ahsmon berkata, polis juga bertindak merampas sebuah kenderaan jenis Perodua Kancil dipercayai digunakan suspek ketika menyamun kedai serbaneka di Taman Daiman Jaya.

“Selain kenderaan itu, polis juga menemui sebilah sabit yang juga digunakan ketika kejadian samun terbabit.

“Semakan rekod lampau kemudiannya mendapati salah seorang suspek turut mempunyai dua rekod lampau di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan (pecah rumah) dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan (pemerasan),” katanya.

Beliau berkata, soal siasat yang dijalankan turut mendapati kedua suspek turut dipercayai terbabit dengan kejadian samun di sekitar kawasan Pontian, Seri Alam dan Johor Bahru Selatan.

Artikel Berkaitan:

“Keseluruhan jumlah kerugian bagi kesemua kejadian berkenaan dianggarkan bernilai RM 10,000.

“Suspek yang ditangkap dan barang-barang rampasan dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Katanya, polis yakin dengan penahanan dua lelaki itu telah menyelesaikan beberapa kes samun kedai serbaneka 24 jam di sekitar kawasan ini.