Kerajaan belum sedia tetapkan harga siling tambang penerbangan domestik

Anthony Loke Siew Fook ketika menjawab soalan para pengamal media pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. -Foto Bernama
Anthony Loke Siew Fook ketika menjawab soalan para pengamal media pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan belum bersedia untuk menetapkan harga siling tambang penerbangan domestik di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini kerana ia tidak berlandaskan sistem ekonomi pasaran yang diamalkan ketika ini.

Menurutnya, kerajaan sememangnya sedar akan kenaikan melampau harga tiket penerbangan domestik terutamanya pada musim cuti perayaan namun katanya ia tidak selari dengan apa yang diamalkan ketika ini.

"Kalau kerajaan melaksanakan langkah tersebut (tetapkan harga siling tiket penerbangan) ia tidak memenuhi ekonomi pasaran kerana apa yang kita amalkan dalam sistem ekonomi negara kita adalah ekonomi terbuka.

"Bagaimanapun kita telah mengambil pelbagai langkah di mana kita galakkan syarikat penerbangan untuk menambah penerbangan pada musim perayaan supaya kenaikan itu dapat dikurangkan.

"Kerajaan melalui pelbagai agensi di bawah kita seperti Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan memberikan sokongan penuh daripada segi kerjasama dan sebagainya untuk menambah penerbangan pada musim perayaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang bertanyakan adakah kerajaan bercadang untuk menetapkan harga siling tambang penerbangan domestik bagi mengekang kenaikan melampau terutamanya pada musim perayaan.

Artikel Berkaitan: