'Sudah lama orang asli di Kelantan ketagih alkohol'

Datuk Mohd Nassuruddin Daud sewaktu menjawab soalan yang diajukan Adun Galas.
Datuk Mohd Nassuruddin Daud sewaktu menjawab soalan yang diajukan Adun Galas.
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan mengakui masalah ketagihan alkohol dalam kalangan masyarakat orang asli bukanlah satu perkara yang baru malah sudah berlarutan sejak sekian lama dan telah menjadi budaya mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan Dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, namun pihaknya telah melaksanakan pelbagai program bagi memastikan masalah tersebut dapat dibendung dari semasa ke semasa.

“Kita sentiasa ambil berat tentang isu orang asli kerana mereka adalah aset negeri dan segala permasalahan mereka terutama yang beragama Islam amat kita dititik beratkan.

“Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEIK) juga menggunakan perkhidmatan mualim untuk masuk ke kawasan orang asli dengan mengadakan program bagi mencegah daripada pengambilan alkohol.

“JAHEIK akan tempatkan mualim untuk kendalikan kelas Fardhu Ain, kelas kematian, pantau kepatuhan mereka kepada agama serta pelbagai program lain lagi,” katanya.

Terdahulu, beliau menjawab soalan dikemukakan oleh Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) mengenai langkah diambil kerajaan bagi menangani masalah ketagihan alkohol dalam kalangan orang asli pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Mohd Syahbuddin ketika ditemui di luar dewan memberitahu, masalah ketagihan tersebut bagaikan racun kepada masyarakat orang asli kini dan ia boleh menjadi barah jika dibiarkan berleluasa.

“Buat masa ini kita belum lihat tindakan agresif dilakukan pihak kerajaan sebab itu kita maklumkan perkara ini dalam sidang dewan supaya kita boleh sama-sama gembleng tenaga selesaikannya.

Artikel Berkaitan:

“Mereka yang terlibat juga rata-ratanya adalah golongan belia, tidak kurang juga dewasa. Apabila mereka mabuk, mereka tidak akan pergi kerja, hanya lepak semata-mata.

“Malah ia juga membuahkan pelbagai masalah sosial yang lain terutamanya mencuri, merompak dan sebagainya. Perkara inilah yang kita perlu bendung, kita tidak mahu ia akhirnya merosakkan akhlak terutamanya mereka yang beragama Islam,” katanya.

Ketika ditanya mengenai punca kegiatan tersebut berleluasa, Syahbuddin mendakwa, bekalan arak tersebut sangat mudah diperoleh iaitu melalui Cameron Highlands dan dijual secara terbuka.

“Saya menyokong penuh tindakan kerajaan negeri yang menghantar mualim untuk beri kefahaman yang lebih jelas kepada masyarakat ini supaya mereka tidak lupa agama dan terus lalai dengan perkara tersebut,” katanya.