1MDB: Pendakwaan serah 8 penyataan saksi kepada pembelaan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan hari ini menyerahkan lapan penyataan saksi kepada pasukan peguam dalam kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Al-Saifi Hashim semasa pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan di sini, hari ini.

“Kesemua dokumen akan lengkap dua minggu sebelum perbicaraan bermula dan pendakwaan akan menyerahkan lagi penyataan saksi yang lain semasa pengurusan kes akan datang,” katanya dan menambah pendakwaan juga akan melengkapkan 30 hingga 40 penyataan saksi untuk diserahkan kepada pembelaan.

Peguam Rahmat Hazlan mewakili Najib, 66, dan Jasmine Cheong bertindak bagi pihak Arul Kanda, 43, masing-masing mengesahkan telah menerima penyataan saksi itu.

Hakim Mohamed Zaini menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 7 November dan 13 November.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan 18 hingga 29 November 2019 dan 13 hingga 17 Januari 2020 untuk perbicaraan kes itu.

Pada 4 Januari lalu Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes Najib dan Arul Kanda dibicarakan bersama.

Pada 12 Disember 2018 Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau dituduh sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri Malaysia menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib meminda laporan tersebut bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa jika sabit kesalahan. - Bernama