[VIDEO] Pasukan lawan lindungi pemain Islam terbuka tudung

Paparan video tular di media sosial.
A
A

PEMANDANGAN luar biasa dilihat di padang bola sepak di Jordan apabila sebuah pasukan bergegas membentuk benteng bagi mengelilingi seorang pemain lawan yang mahu membetulkan tudungnya tertanggal ketika beraksi.

Kejadian itu berlaku dalam pertandingan minggu lalu antara kelab Shabab Al-Ordon (jersi merah) dan Kelab Amman dalam Kejohanan Kelab Wanita Asia (WAFF).

Aksi menyentuh hati berkenaan tular di media sosial setelah video durasi 21 saat itu dikongsi oleh Shuaib Ahmed hingga meraih 2.49 juta tontonan.

Kejohanan tersebut menampilkan wakil-wakil dari Jordan, Palestin, Bahrain, Lubnan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), laporan The Indians Express.

Shabab Al-Ordon, kelab yang berpusat di Jordan, dinobatkan sebagai juara kejohanan sekali gus membawa gelaran juara serantau Asia Barat.

Sementara itu, netizen, Etanss berasa kagum dengan rasa hormat antara para pemain.

"Para pemain sangat menghormati antara satu sama lain dan pastinya perkara ini sangat diperlukan pada masa ini," tulisnya di Twitter.

Kata Olliejbb, walaupun pasukan Shabab Al-Ordon tidak berhijab tetapi mereka memiliki jiwa besar menghormati rakan yang memelihara aurat ketika beraksi.

"Walaupun bukan satu pasukan tetapi mereka tetap melindungi rakan lawan. Mereka juga tidak berhijab seperti mana pemain itu tetapi mereka sanggup berhenti bermain meskipun itu adalah perlawanan akhir.

"Namun apa yang mereka lakukan itu cukup murni," katanya.