Kompaun RM2.5 juta: UMNO Pekan lapor polis terhadap SPRM

Mohd Nizar (tengah) bersama ahli UMNO Bahagian Pekan membuat laporan polis di IPD Pekan hari ini.
A
A

KUANTAN - UMNO Bahagian Pekan membuat laporan polis susulan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan notis kompaun RM2.5 juta terhadap pertubuhan itu yang dipercayai menerima dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohd Nizar Mohd Najib berkata, laporan polis dibuat bagi membolehkan pihaknya melawan dakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilihat bertindak di luar bidang kuasa mereka.

Menurutnya, SPRM dilihat berat sebelah dalam kendalian kes 1MDB apabila mengenakan kompaun tinggi dan tidak munasabah iaitu RM2.5 juta untuk penerimaan hanya RM50,000.

Beliau berkata, kompaun berkenaan dikenakan sedangkan kes 1MDB masih berjalan di mahkamah.

"SPRM dilihat mendahului dan tidak menghormati institusi mahkamah dalam hal ini. Selain itu individu-individu tertentu yang menerima dana dari sumber yang sama tidak dikenakan sebarang tindakan kompaun setelah mereka berpihak kepada parti kerajaan.

"Jadi, hari ini kita membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan bagi sebagai melawan dan pertahankan diri kami semua," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Farid Mohd Nor.

Laporan itu dibuat oleh wakil UMNO Bahagian Pekan termasuk Pemuda UMNO dan Wanita UMNO.