Arnold lakar sejarah dunia

Arnold tersenarai dalam Buku Rekod Guiness selepas menjadi pertahanan terbanyak melakukan bantuan gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), musim lalu. FOTO: GOAL.COM
A
A

BINTANG Liverpool, Trent Alexander Arnold melakar sejarah tersendiri apabila namanya tersenarai dalam Buku Rekod Guiness selepas menjadi pertahanan terbanyak melakukan bantuan gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), musim lalu.

Pemain berusia 21 tahun itu melakukan 12 bantuan gol menewaskan rekod yang dipegang dua pertahanan Everton Andy Hinchcliff pada 1994 dan Leighton Baines pada 2010 yang mencatat 11 bantuan gol.

"Ini adalah satu penghormatan kepada saya. Sanjungan juga perlu diberikan kepada rakan pemain yang menjaringkan gol. Tanpa mereka rekod ini tidak akan terhasil.

"Anugerah ini adalah pencapaian membanggakan dan ia menjadi pemangkin untuk saya memberikan lebih usaha dalam pasukan untuk meraih lebih banyak kejuaraan," katanya.

Menurutnya, bantuan gol yang paling diingati buatnya adalah ketika menentang Barcelona di separuh akhir kedua Liga Juara-Juara yang menyaksikan Liverpool menang 4-3.

"Itu adalah gol yang sangat istimewa, segalanya berjalan sempurna. Saya harap itu akan menjadi kenangan bagi setiap orang yang hadir di sana atau menyaksikan pertandingan tersebut," katanya.

Pemain England itu turut mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukannya, Andy Robertson dan Virgil van Dijk yang memainkan peranan besar ke atas pencapaiannya itu.

"Saya dan Robertson saling bersaing untuk merebut siapa yang dapat memberikan bantuan gol terbanyak. Ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk mendapatkannya.

"Manakala, van Dijk adalah pemain kelas dunia dan rakan sepasukan terbaik yang pernah saya dapat. Pertahanan Liverpool cukup tenang dengan kehadirannya," katanya.