Usah terburu-buru sambar Luqman Hakim

Luqman Hakim - Foto Sportflex Malaysia
Luqman Hakim - Foto Sportflex Malaysia
A
A
A

PENGENDALI skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee sedia menyenaraikan penyerang remaja, Luqman Hakim bagi mengikuti kem latihan sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2019 di Filipina bulan depan.

Bagaimanapun, Kim Swee tidak mahu tergesa-gesa untuk menyambar terus penyerang berbisa skuad B-19 negara itu seperti dicanang sesetengah pihak termasuk peminat dan penyokong bola sepak Malaysia.

“Peluang untuk Luqman memang ada dalam senarai 'call-up' tetapi untuk mendapatkan tempat terakhir 23 pemain, itu terpulang kepada latihan dan perlawanan persahabatan sebelum (skuad negara) bertolak ke Manila pada 23 atau 24 November nanti.

“Kita tahu Luqman merupakan seorang pemain yang berpotensi tinggi untuk beraksi di peringkat yang lebih tinggi tetapi kita tidak perlu terburu-buru. Seperti saya katakan, saya ingin melihat Luqman dalam latihan, di peringkat yang lebih tinggi.

“Ketika ini Luqman beraksi bersama skuad B-19 tetapi belum beraksi di peringkat yang lebih tinggi. Jadi kita harus memberikan masa kepada Luqman untuk menyertai skuad B-23 dan pasukan (senior) negara pada masa hadapan dengan cara yang betul,” katanya.

Kim Swee bimbang sekiranya beliau mengambil pendekatan terburu-buru, ia berkemungkinan akan memberi kesan bukan sahaja kepada pemain itu sendiri, bahkan juga pasukan.

“Kita harus tahun bahawa pemain yang berusia 17 atau 18 tahun sememangnya mempunyai potensi tinggi untuk diletakkan dalam pasukan B-23 dan juga skuad kebangsaan tetapi kita perlu sedar kesan di sebaliknya.

“Jika sesuatu yang berlaku kepada Luqman, ia akan memberi satu kesan yang berlainan pada masa akan datang. Maka kita perlu fikir dengan betul dan memberi masa kepada beliau untuk bersama skuad B-23 negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi saingan Sukan SEA 2019 Filipina, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Filipina selain Myanmar, Kemboja dan Timor-Leste.