Bersangka baik dalam politik

A
A

POLITIK adalah sebahagian daripada kehidupan sekiranya ia dikaitkan dengan pentadbiran, pemerintahan dan pengurusan sesuatu sistem kehidupan bagi sesuatu kawasan yang tertentu.

Contohnya, sebuah kampung yang penduduknya terdiri daripada orang kampung sebagai rakyat dan penghulu serta ahli-ali jawatankuasanya sebagai pemerintah.

Ia adalah sebuah sistem politik yang mana semua penduduk terlibat sama ada sebagai pemerintah ataupun yang diperintah. Dengan kata lain, politik dan kehidupan bermasyarakat adalah dua perkara yang tidak mungkin untuk dipisahkan.

Bagaimanapun, kita sering tersalah tafsir makna politik iaitu dengan mengandaikan bahawa politik adalah satu tipu helah yang membolehkan seseorang itu memperoleh apa yang diingini. Andaian sebegitu menyebabkan ahli-ahli politik dilihat tidak ubah seperti Abu Nawas yang penuh dengan tipu helah.

Setiap perkataan dianggap sebagai pembohongan dan setiap tindakan dianggap hanya untuk meraih sokongan biarpun apa yang dilakukan adalah semata-mata bagi memenuhi amanah yang telah dipertanggungjawabkan.

Sesungguhnya bukan semua yang terlibat dengan politik adalah sebagaimana yang diandaikan kerana masih ramai mereka yang berjuang demi agama, bangsa dan negara. Mereka meletakkan kepentingan peribadi sebagai sampingan, manakala kepentingan ummah sebagai yang utama.

Ia mungkin digambarkan dengan cara hidup yang bersederhana, kekampungan dan mesra rakyat atau mungkin juga mereka yang kelihatan sebagai bangsawan dan berdarjat. Namun, di mata dan hati mereka, tanggungjawab dan kepentingan ramai menjadi keutamaan.

Saya teringat bagaimana Datuk Tan Chin Nam menceritakan mengenai kekagumannya terhadap kegigihan Tunku Abdul Rahman dalam meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi sehinggakan pada akhir hayatnya, Tunku hanya mempunyai simpanan tunai yang agak sedikit dan jumlah harta-harta peribadi yang terhad.

Saya terfikir bagaimana kerabat diraja mempunyai harta yang terhad lebih-lebih lagi beliau yang mempunyai kedudukan dalam politik negara, namun begitulah insan apabila apa yang dilakukan adalah semata-mata ikhlas dan tulus daripada lubuk hati, bukan kerana nama, kedudukan ataupun kepentingan peribadi.

Persepsi

Kita sering mempunyai sudut pandang yang berbeza terhadap ahli-ahli politik terutama apabila yang diketengahkan itu adalah bukan daripada parti/puak yang kita sokong.

Ia menjadi lebih rumit apabila pihak yang disokong mengeluarkan pendapat-pendapat ‘pelik’ hinggakan terpaksa diusahakan oleh penyokong untuk mencari alasan dan punca bagi membetulkan kesilapan tersebut.

Sekiranya kesilapan tersebut berlaku kepada pihak lawan, maka habislah dilondehkan sehinggakan seolah-olah mereka sememangnya tidak layak untuk memiliki sokongan.

Begitulah situasi yang sering berlaku dalam perihal politik. Ia amat rumit untuk diperbaiki agar makna sebenar politik bukan sahaja diterjemahkan secara perkata, namun ia juga turut ‘disebatikan’ bersama tindakan dan amalan oleh kesemua mereka yang terlibat.

Rawatan yang mampu untuk mengubat senario itu adalah dengan memperbaiki sangkaan dan persepsi yang tertanam di lubuk hati kita. Segala prasangka yang lahir perlu dipositifkan.

Andai datang gambaran-gambaran negatif dan tidak baik, kita hendaklah menolaknya ke tepi dan menggantikannya dengan sangkaan yang baik-baik.

Namun, ia tidak bermaksud kita mengetepikan sikap berhati-hati dan waspada, di mana sikap ini akan menjaga seseorang itu daripada ditipu atau dimanipulasi oleh mereka yang mempunyai niat jahat.

Berhati-hati bukan bermaksud mencari keburukan kerana ia adalah pendekatan seseorang dalam menilai sesuatu perkara. Prasangka pula adalah keputusan yang diletakkan di atas tanggapan yang dihasilkan ke atas satu-satu penilaian tanpa didahului dengan usul periksa.

Asas dalam satu-satu andaian ialah bersangka baik selagi tiada pembuktian bahawa ahli politik tersebut berniat jahat. Jangkaan dan persepsi semata-mata tidak boleh menjadi alasan dan hujah yang akhirnya mampu untuk menjerumuskan seseorang ke dalam azab ALLAH yang tidak terhingga.