Buat baik jangan sampai jadi keldai dadah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Perkongsian seorang individu yang meminta masyarakat supaya tidak membantu membawa barang orang tidak dikenali khususnya di lapangan terbang mendapat perhatian dalam kalangan netizen sehingga ada yang turut berkongsi pengalaman hampir menjadi keldai dadah.

Individu tersebut membuat hantaran melalui Twitter Malaysia Most Viral itu memberitahu didatangi seorang wanita Indonesia yang meminta tolong membawa barangnya kerana mendakwa sudah melebihi kuantiti.

"Sedang saya dan anak perempuan saya berjalan di ruangan balai pelepasan di KLIA 2, tiba-tiba datang seorang wanita Indonesia dalam usia 30-an menegur anak saya dengan ramah untuk meminta tolong.

"Di tangannya ada satu beg kertas berisi dua bungkus milo besar yang dibelikan untuk anaknya dan meminta anak saya tolong memegang barangnya konon barangnya sudah melebihi 7kg yang bermaksud dia nak tumpang barang dekat orang lain.

"Bila saya menghampiri wanita itu, dia cuba jelaskan kepada saya sekali lagi, namun saya hairan kerana tiada beg lain bersamanya sampai lebih 7kg selain hanya beg kertas di tangannya sahaja.

"Saya cakap dengan tegas, awak bawa sendiri barang awak, awak ada dua pilihan saja, bayar lebih atau buang jer milo tu. Saya tarik tangan anak saya dan ingatkan supaya jangan percaya pada sesiapa pun di lapangan terbang kalau ada yang minta tolong simpan, bawa, barang mereka," katanya.

Dalam pada itu, tindakan individu tersebut dilakukan kerana senario itu mengingatkan kepada rakannya yang berbaik sangka membawa barangan orang lain di KLIA, namun hakikatnya barang tersebut adalah dadah.

"Rakan saya dulu pernah anaknya membawa patung beruang yang diberikan oleh seorang wanita selepas dia keluar dari tandas dan kerana bersangka baik, dia membiarkan anak kecilnya itu bawa anak patung itu dan sehingga tiba pemeriksaan imigresen, igauan ngeri pun berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Ada dadah dalam patung itu dan wanita yang bertanggungjawab hilang entah ke mana. Dia ditahan, sehinggakan dia masuk mahkamah atas tuduhan memiliki dadah. Nasib baik dilepaskan disebabkan campur tangan orang tertentu.

"Berhati-hati, jangan jadi seperti pelanduk yang sering kali melupakan jerat. Kalau dah terkena, ALLAH saja yang tahu, silap-silap masuk lokap hanya kerana sikap cuai. Jangan sampai suka bertukar duka, tawa berganti air mata. Musuh mana ada hati budi ya," katanya.

Perkongsian itu di laman Twitter kini tular di media sosial yang meraih 13,800 ulang kicau, 8,700 tanda suka dan ada dalam kalangan netizen juga mempunyai pengalaman hampir sama seperti dialami individu terbabit.

Kata @Izzah: "Saya pernah terkena ketika hendak pergi Dolok tetapi mak saya melarang saya menolong orang dan hampir sama sahaja kejadian saya sepertinya."

"Pernah kena tipu dengan seorang ini, dia cakap nak balik Singapura tapi tertinggal tiket dekat hotel. Jadi nak pinjam dulu duit, saya ajak jumpa polis dia tak nak, siap menangis lagi. (Lepas dlm 20 minit) kawan saya baik hati bagi RM400, dia bagi nombor telefon dan janji nak bayar tapi telefon nombor tu tak dapat," tulis @Wan Syamsul Nahar di Twitter.