Makin ramai kanak-kanak di dunia kurang zat

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kemiskinan, urbanisasi, perubahan iklim dan pilihan makanan yang tidak sihat adalah faktor yang menyebabkan sejumlah besar kanak-kanak di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, mengalami kesan akibat pemakanan tidak berzat yang mengancam kelangsungan hidup, pertumbuhan dan pembangunan mereka.

Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) melaporkan bahawa, sekurang-kurangnya satu pertiga daripada kanak-kanak di bawah 5 tahun atau lebih daripada 200 juta mengalami kekurangan zat pemakanan, terbantut, atau berat badan berlebihan, sementara dua pertiga antara 6 bulan hingga 2tahun tidak mendapat makanan yang membantu pertumbuhan mereka.

Laporan UNICEF bertajuk 'State of the World’s Children 2019: Children, Food and Nutrition menyatakan bahawa di Malaysia, 20.7 peratus daripada kanak-kanak di bawah 5 tahun menghadapi masalah terbantut dan 11.5 peratus mengalami penyusutan badan serta 12.7 per kanak-kanak (5 hingga 19 tahun) adalah obes.

Secara keseluruhannya, kira-kira 149 juta kanak-kanak terbantut atau terlalu pendek untuk umur mereka, 50 juta mengalami susut badan atau terlalu kurus untuk usia mereka, 40 juta berat badan berlebihan dan 340 juta lebih mengalami kekurangan vitamin dan nutrien penting.

Corak ini, menurut laporan itu, akan meletakkan kanak-kanak terdedah kepada risiko perkembangan otak yang lemah, pembelajaran yang lembab, imuniti rendah, peningkatan jangkitan dan dalam senario terburuk menyebabkan kematian.

Laporan itu menyatakan, walaupun di negara-negara berpendapatan tinggi seperti United Kingdom, kelaziman berat badan berlebihan adalah lebih daripada dua kali lebih tinggi di kawasan paling miskin berbanding di kawasan terkaya.

Kata laporan itu, realiti tersebut lebih kompleks di kawasan-kawasan bandar yang miskin apabila kadar kekurangan zat makanan cenderung lebih tinggi daripada purata negara.

Pengarah Eksekutif UNICEF, ​​Henrietta Fore dalam laporan itu turut memberitahu bahawa berjuta kanak-kanak hidup dalam diet tidak sihat hanya kerana tidak mempunyai pilihan lebih baik.

Artikel Berkaitan:

"Cara kita memahami dan menangani keperluan kekurangan zat makanan perlu berubah. Itulah cabaran bersama kita hari ini," katanya.

Beliau berkata, di sebalik kemajuan teknologi, kebudayaan dan sosial dalam beberapa dekad yang lalu, negara-negara telah terlepas pandang kepada fakta yang paling mendasar iaitu 'jika kanak-kanak tidak mengambil makanan yang berzat, mereka hidup dalam keadaan yang perit'.

Laporan itu juga menyatakan bahawa bencana berkaitan iklim telah menyebabkan krisis makanan yang teruk, dengan kemarau contohnya bertanggungjawab terhadap 80 peratus kerosakan dan kerugian hasil pertanian.

Untuk menangani masalah itu, UNICEF segera merayu kerajaan, sektor swasta, penderma, ibu bapa, keluarga dan perniagaan untuk membantu kanak-kanak bagi pertumbuhan yang sihat dengan memberi kuasa kepada keluarga untuk menuntut makanan berkhasiat dan memacu pembekal makanan untuk memberi insentif bagi penyediaan makanan yang sihat dan mampu diperoleh. - Bernama