Berjaya konvo walaupun hidap kanser tahap 3

A
A
A

SHAH ALAM - Seorang wanita juga penghidap kanser tahap tiga yang berjaya menamatkan pengajian diplomanya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Arau membuatkan netizen kagum dengan semangat dirinya.

Wanita terbabit yang menggunakan nama profil Aida Rashid di Instagram miliknya berkongsi pengajiannya sepatutnya tamat penghujung 2017, namun terpaksa ditangguhkan atas faktor masalah kesihatan.

Aida berkata, penangguhan itu dilakukan apabila disahkan menghidap kanser 'malignant bone' tahap tiga yang diketahui selepas melakukan pemeriksaan kesihatan pada pada tahun sama.

"Saya mula belajar di peringkat diploma pada tahun 2015 dan sepatutnya tempoh pengajian hanya dua tahun setengah sahaja namun ia menjadi semakin lama. Awal 2017, saya kena ulang alik dari UiTM Arau ke Pusat Kesihatan Kangar.

"Saya tak dapat hadir ke kelas pada sebelah pagi sebab banyak temu janji rawatan saya perlu pergi dan pada 15 Februari 2017 saya disahkan menghidap kanser malignant bone tahap tiga dan terpaksa menangguhkan pelajaran, meninggalkan kawan-kawan saya di Arau untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Aida berkata, dia yang mendapat rawatan di Kuala Lumpur memberi pengalaman tidak dapat dilupakan kepada dirinya apabila rawatan tersebut bukan sahaja menyakitkan, malah memberi kesan buruk terhadap kesihatannya.

Namun, episod sedih hidupnya itu tidak memutuskan semangat untuk mencipta kejayaan memandangkan tempoh pengajiannya berbaki setahun sahaja lagi, malah sentiasa reda dan menganggap apa yang berlaku adalah ujian ALLAH.

"Saya banyak melakukan kimoterapi dan pelbagai lagi rawatan pada tahun 2017 namun saya cuba berfikiran positif dan membuat keputusan untuk meneruskan pembelajaran saya pada Mac 2018.

Artikel Berkaitan:

"Saya bersyukur kerana dapat tukar ke kampus di Tapah disebabkan saya masih perlu melakukan rawatan di Hospital Kuala Lumpur. Saya perasan diri saya banyak berubah, otak saya jadi lembab sangat.

"Saya menjadi 'slow learner' tetapi saya berjaya lakukannya tanpa perlu ulang kertas peperiksaan, melakukan terbaik daripada apa yang saya sangkakan dan saya dah pun konvo," katanya.

Aida yang turut berkongsi ceritanya di Twitter sehingga tular di media sosial dan meraih 9,800 perkongsian dan 12,700 tanda suka serta ramai mengucapkan tahniah dan berterima kasih memberi inspirasi kepada orang lain

Tulis Alfee Malik "Sebak, terharu dan bangganya baca cerita awak di Instagram. Tahniah, awak sememangnya seorang yang kuat, pejuang serta akan menjadi inspirasi kepada orang lain termasuk saya yang mungkin merasai dan mengalami nasib sama seperti awak. Tahniah lagi sekali sis, Alhamdulillah."

"Terima kasih sangat sebab memberi inspirasi kepada saya dan semua. Saya selalu tak sabar nak habis belajar sebab setiap hari saya mengalami tekanan tetapi sekarang bila melihat awak, saya berasa bersemangat. Saya akan doakan terbaik untuk awak dunia akhirat. Semoga ALLAH mempermudahkan dan memberkati segala urusan anda," kata yiyieen di Twitter.