Bedah siasat mangsa kabin terbakar diketahui esok: Polis

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Laporan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian mangsa kebakaran kabin di tapak binaan Jalan Pasar Kuantan di sini, akan diketahui esok.

Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusuf Ali berkata, mayat mangsa yang dipercayai wanita itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan dimaklumkan akan melalui bedah siasat pada jam 2.45 petang, esok.

"Ini kerana mayat perlu di X-ray terlebih dahulu dan doktor juga ingin mengetahui hasil siasatan serta carian oleh Unit K9 Bomba di tempat kejadian.

"Pada masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Pasukan Forensik (D10) Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Pahang telah hadir di tempat kejadian mengambil beberapa barang kes dan diserahkan kepada Kimia Petaling Jaya bagi tujuan DNA Profiling," katanya dalam satu kenyataan media, malam tadi

Beliau berkata, pemeriksaan tempat kejadian mendapati sebuah kabin yang diperbuat daripada zink telah terbakar 100 peratus.

"Saksi memberitahu kabin tersebut telah dijadikan tempat lepak atau tempat tidur oleh beberapa individu serta disyaki dijadikan tempat penagihan dadah.

"Saksi juga menyatakan si mati dipercayai adalah perempuan anggaran umur 30-an, tetapi tidak diketahui butiran lanjut si mati. Katanya si mati mempunyai kawan lelaki yang tidak diketahui nama, yang dikatakan telah ditangkap polis beberapa minggu lepas berkemungkinan kes narkotik. Polis sedang berusaha untuk mengesan kawan lelaki si mati," katanya.

Artikel Berkaitan: