India sekat SMS di Kashmir

Penduduk Kashmir menggunakan telefon bimbit miliknya selepas talian komunikasi dipulihkan semalam. - Foto AGENSI
A
A

SRINAGAR - Kerajaan India hari ini telah menyekat perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) di wilayah Kashmir yang ditadbir India kira-kira 24 jam selepas ia memulihkan talian telefon di Jammu dan Kashmir (J&K) yang berdepan sekatan komunikasi sejak 72 hari lalu.

Sumber keselamatan di New Delhi memberitahu keputusan tersebut dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri bagi mengekang keupayaan militan untuk berkomunikasi.

Sementara itu, pihak berkuasa berkata, perkhidmatan SMS tersebut disekat susulan insiden serangan ke atas pemandu lori di daerah Shopian di Kashmir.

Menurut penduduk, dua lelaki bersenjata memakai topeng mengarahkan mangsa mengalihkan lorinya atas alasan ia menghalang jalan.

Lori itu bagaimanapun terbabas dan lelaki bersenjata terbabit melepaskan tembakan dan membakar lori berkenaan.

Semalam, penduduk Kashmir menarik nafas lega seketika selepas talian telefon dan perkhidmatan pesanan teks kembali dipulihkan di wilayah bergolak itu selepas lebih dua bulan ia berdepan sekatan komunikasi.

Bagaimanapun, perkhidmatan internet dan talian prabayar masih disekat di Srinagar.

Pihak berkuasa India bertindak menyekat talian telekomunikasi kerana bimbang protes ganas tercetus dan peningkatan aktiviti militan di Jammu dan Kashmir (J&K) selepas New Delhi memansuhkan status khas di wilayah autonomi terbabit pada 5 Ogos lalu.

Menurut Dewan Perdagangan Kashmir, sekatan ke atas J&K telah menyebabkan wilayah itu terpaksa menanggung kerugian AS$1.4 bilion (RM5.87 bilion) meliputi sektor ekonomi dan pelancongan. - Agensi