1MDB: Hakim tegur Najib tak lagi mohon tangguh bicara

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditegur oleh Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah hari ini kerana tidak hadir pada perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada sebelah tengah hari yang menyebabkan hakim berkata harap 'ini kali terakhir keadaan ini berlaku'.

Perbicaraan hari ini ditangguhkan kerana bekas Perdana Menteri itu dijangka menyampaikan ucapan berhubung Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat petang tadi.

Ini dimaklumkan oleh peguambela utama Najib iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kepada Hakim Sequerah apabila prosiding sebelah tengah hari bermula bahawa anak guamnya tidak dapat hadir di mahkamah disebabkan keadaan yang tidak dapat dielakkan.

"Semasa slot untuk Barisan Nasional pagi ini, slot anak guam saya sebagai Ahli Parlimen Pekan, telah beralih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau menimbulkan isu yang sangat kritikal di Parlimen hari ini dan ucapan itu telah disediakan sejak dua minggu lepas.

"Anak guam saya berbanyak-banyak memohon maaf kepada Yang Arif kerana tidak dapat hadir disebabkan keadaan yang tidak dapat dielakkan. Jika dia tidak dapat berucap, anak guam saya akan dikenakan tindakan untuk tempoh dua bulan akan datang," kata Muhammad Shafee.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, walaupun pihak pendakwaan menghargai tugas Najib sebagai Ahli Parlimen, ia tidak berpuas hati dengan situasi dan membangkitkan isu slot Dewan Rakyat bukan alasan yang munasabah.

"Kami ada saksi lain yang sedang bersiap sedia kerana kami tidak tahu bila pemeriksaan balas akan selesai. Mereka telah meletakkan kami dalam keadaan yang sukar. Najib boleh memaklumkan kepada Speaker bahawa dia harus hadir perbicaraan di mahkamah.

"Oleh itu ketidakhadirinnya tidak boleh dimaafkan. Kami akan lebih senang jika ini kali terakhir keadaan seperti ini berlaku," kata Sri Ram.

Artikel Berkaitan:

Hakim Sequerah kemudian mengingatkan peguam itu bahawa prosiding sepatutnya bermula pada 2.30 petang hari ini kerana Najib hanya akan berada di Parlimen pada sebelah pagi.

Muhammad Shafee memberitahu bahawa Najib secara berterusan memberitahu bahawa dia perlu hadir perbicaraan pada pukul 2.30 petang.

"Malah dia menghadapi masalah kerana mendesak kerani Speaker bahawa dia perlu hadir perbicaraan pada pukul 2.30 petang. Semua media menyiarkan berita bahawa prosiding akan disambung semula jam 2.30 petang," katanya.

Muhammad Shafee menegaskan bahawa sebagai Ahli Parlimen, anak guamnya bertanggungjawab kepadak tugas sebagai ahli parlimen.

"Sekali-sekala anak guam saya perlu berucap. Ini adalah masa yang dia mohon dan dia telah diberi slot," kata Muhammad Shafee.

Hakim Sequerah kemudian mempersoalkan peguam itu jika beliau dapat memastikan keadaan sedemikian tidak akan berlaku lagi dan Muhammad Shafee menjawab bahawa perbicaraan tidak selalu ditangguhkan setakat ini.

"Saya sepatutnya menjalani pembedahan mata. Mengapa?. Disebabkan perbicaraan ini, saya menangguhkannya supaya saya dapat meneruskan kes ini. Apabila anak guam saya menghidap konjunktivitis, kita tidak mempunyai pilihan selain menangguhkan,” katanya.

Hakim Sequerah lalu menjawab bahawa pastikan ini ali terakhir situasi seperti ini berlaku dan kemudian menangguhkan prosiding sehingga esok pada jam 9.30 pagi.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan juga menghadapi 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama. - Bernama