'Bukan semua perkara boleh dinilai dengan akal'

Zamri
A
A

SHAH ALAM - Bukan semua perkara dalam Islam boleh dikhilafkan atau dinilai dengan menggunakan akal, kata Pengerusi Majlis Ulama Isma (Muis), Zamri Hashim.

Beliau berkata, akal digunakan untuk berfikir secara kritis terhadap sesuatu isu bagi mendapatkan pandangan yang terbaik.

Jelasnya, atas asas itu jugalah wujudnya konsep ‘khilaf’ yang membolehkan umat Islam berbeza pandangan dalam sesuatu isu.

“Namun tidak bermaksud semua sudut dalam Islam boleh didebatkan atau dinilai menggunakan akal,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 dalam kalangan pelajar sekolah yang melibatkan topik-topik kontroversi berkaitan asas Islam.

Tegas beliau, tindakan mempersoalkan undang-undang syariah, menukar isi kandungan al-Quran dan mengubah hukum haram homoseksual adalah satu bentuk debat yang jelas bertentangan dengan syariat Islam.

“Ini kerana isi kandungan seperti itu akan mengundang peserta untuk berfikir dalam kerangka merungkai syarak itu sendiri serta menimbulkan keraguan terhadap Islam dalam kalangan penonton yang hadir.

“Debat seperti ini bukan sekadar bertindak biadab terhadap Islam yang umatnya merupakan majoriti di negara ini, tetapi ia adalah satu tindakan menghina Islam, Yang di-Pertuan Agong serta Sultan yang merupakan ketua negeri bertanggungjawab terhadap Islam pada setiap negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, debat secara asasnya adalah perkara yang diiktiraf dalam Islam.

“Asas debat berkaitan agama dalam Islam juga hendaklah berasaskan membawa manusia kepada Penciptanya.

“Seperti mana debat Nabi Ibrahim dengan Namrud, Nabi Musa dengan Firaun, Nabi Lut dengan kaumnnya, Nabi Muhammad dengan Yahudi serta banyak lagi kisah al-Quran yang meletakkan asas ini.

“Inilah intipati dakwah manusia dengan hikmah,” katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, Muis meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penganjur debat berkenaan.

“Penganjur perlu disiasat kerana setiap penganjur ada matlamat dan objektif masing-masing yang ingin dicapai dalam menganjurkan pertandingan.

“Keadaan itu menyebabkan tajuk-tajuk yang dipilih jelas menunjukkan terdapatnya tujuan untuk menghina Islam dalam penganjuran,” katanya.

Semalam, Presiden Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dalam kenyataannya menggesa Kementerian Pendidikan mengambil tindakan segera terhadap penganjur Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 apabila tidak menjaga sensitiviti beragama di Malaysia.

Katanya, tajuk debat yang diberikan penganjur untuk pertandingan berkenaan iaitu ‘Islam tidak menghalang homoseksual dan penulisan semula al-Quran’ boleh menjejaskan akidah apabila suatu pihak terpaksa menyokong atau menentang tajuk itu.

Difahamkan SMA Persekutuan Kajang (SMAPK) yang dipilih sebagai pihak yang menyokong bertindak menarik diri daripada pertandingan tersebut yang diadakan di Seremban pada 11 hingga 13 Oktober lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: KPM digesa ambil tindakan penganjur Debat Piala Tun Razak