SPRM siasat 20 aduan rasuah di Jabatan Kehakiman

Latheefa (kanan) meneliti manuskrip lama bersama Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun (kiri).
Latheefa (kanan) meneliti manuskrip lama bersama Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun (kiri).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima 20 maklumat berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan Jabatan Kehakiman sejak Ogos lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, setakat ini aduan terbabit melibatkan hakim antaranya di Mahkamah Sesyen, namun maklumat lanjut mengenai aduan itu tidak dapat didedahkan kerana masih dalam siasatan.

Bagaimanapun menurutnya, aduan berkenaan berkemungkinan diterima daripada pihak yang tidak berpuas hati kerana kalah dalam perbicaraan dan terus beranggapan keputusan hakim sebagai berat sebelah.

“Setelah kita bersedia membuka kertas siasatan, reman atau membuat pendakwaan, barulah kita maklumkan secara umum.

“Ia sememangnya membimbangkan, namun kita kena lihat dari sudut lain kerana tidak semestinya kita terima aduan, maka 20 hakim itu disoal siasat,” katanya pada sidang media Sambutan Hari Integriti di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed dan Hakim Besar Sabah Sarawak, Tan Sri Datuk Seri David Wong Dak Wah.

Sementara itu, Latheefa berkata, semua pihak perlu menjadikan integriti sebagai satu nilai wajib dalam setiap individu, agensi mahupun organisasi.

Menurutnya, salah satu kes yang boleh dijadikan iktibar ialah kes seorang Hakim Syarie yang ditahan SPRM bulan lalu kerana disyaki menerima rasuah bagi melepaskan seorang pegawai polis yang terlibat dalam kes khalwat.

Artikel Berkaitan:

“Saya berharap aduan yang diterima akan menurun pada tahun-tahun akan datang sehingga menjadikan sistem kehakiman Malaysia bersih daripada sebarang perbuatan rasuah.

“Kita perlu pastikan perkara sebegini tidak berulang demi menjunjung sistem kehakiman negara serta memastikan reputasi semua pihak terpelihara demi melaksanakan tanggungjawab serta amanah kepada masyarakat dan negara,” katanya.