Pindaan undang-undang tangani kes cubaan bunuh diri masih dikaji

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong ketika ditemui di Parlimen hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Jabatan Peguam Negara masih dalam kajian untuk melaksanakan pindaan undang-undang berkaitan bunuh diri bagi menangani isu peningkatan jumlah cubaan membunuh diri di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, proses berkenaan memerlukan tempoh yang panjang dan mendalam sebelum dapat dibuat.

Menurutnya, undang-undang sedia ada termasuklah Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang diguna pakai pihak berkuasa ketika ini memerlukan kajian dan rundingan terperinci bersama beberapa pemegang taruh.

"Antara pemegang taruh yang dirunding ialah Kementerian Kesihatan Malaysia; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Pendidikan; Kementerian Komunikasi dan Multimedia; Kementerian Belia dan Sukan; Polis Diraja Malaysia; Jabatan Bomba dan Penyelamat; Jabatan Kemajuan Islam Malaysia; Befrienders Kuala Lumpur; dan Persatuan Psikiatri Malaysia

“Fokus kajian ini tertumpu bukan kepada Seksyen 309 Kanun Keseksaan, Akta 574 tetapi juga termasuk Seksyen 305 dan 306 berkaitan kesalahan bunuh diri.

"Kerajaan juga sedang menjalankan kajian perbandingan perundangan mengenai kesalahan serupa yang dilaksanakan di United Kingdom, Australia, Pakistan dan India bagi melihat pendekatan yang diambil di negara itu," katanya dalam waktu pertanyaan-pertanyaan menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Kevin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang ingin tahu status kerajaan dalam usaha meminda Seksyen 309 Kanun Keseksaan untuk menjadikan cubaan membunuh diri sebagai satu jenayah, bagi menangani isu peningkatan jumlah cubaan membunuh diri di seluruh negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan telah menyediakan kertas kajian untuk diedarkan kepada pihak berkepentingan untuk mendapatkan pandangan bagi menggubal satu strategi yang komprehensif bagi menangani masalah itu.

"Saya harap dalam masa terdekat, kita akan ada undang-undang yang bukan menghukum tetapi memberi pertolongan kepada mereka," katanya.