Bumbung dewan sedang dibaik pulih runtuh

Sebahagian struktur bumbung Dewan Dato Haji Ahmad Badawi yang runtuh pagi tadi.
Sebahagian struktur bumbung Dewan Dato Haji Ahmad Badawi yang runtuh pagi tadi.
A
A
A

BUTTERWORTH - Sebahagian struktur bumbung Dewan Dato Haji Ahmad Badawi di sini yang sedang dalam proses baik pulih runtuh pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, enam pekerja sedang melakukan kerja-kerja baik pulih selepas mendapati terdapat kebocoran pada siling dewan berkenaan.

Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam insiden itu.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud berkata, dewan berkenaan siap dinaik taraf pada Mac lalu dan diserahkan kepada MBSP pada 16 Julai lalu.

Menurutnya, pihaknya mendapati berlaku kebocoran di bahagian bumbung selepas hujan beberapa hari lalu.

"Projek ini masih dalam tempoh tanggungan kecacatan sehingga 13 Mac tahun depan. Selepas kita dapati ada kebocoran, pihak kontraktor telah diminta untuk melakukan kerja-kerja baik pulih.

"Namun ketika kerja-kerja pembaikan dilakukan berlaku runtuhan sebahagian struktur bumbung dan kita terpaksa menutup kawasan dewan ini buat sementara waktu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Rozali (dua dari kanan) menunjukkan struktur bumbung yang runtuh.
Rozali (dua dari kanan) menunjukkan struktur bumbung yang runtuh.

Artikel Berkaitan:

Rozali berkata, projek di bawah seliaan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) itu menelan kos sebanyak RM4.4 juta dan melibatkan kerja-kerja naik taraf penggantian bumbung termasuk kerangka, naik taraf dewan utama dan bilik-bilik.

Selain itu, kerja naik taraf turut melibatkan di bahagian padang, kerja elektrikal dan mekanikal serta kerja-kerja landskap.

Mengulas lanjut mengenai kejadian berkenaan, Rozali berkata, setakat ini pihaknya masih belum dapat mengenal pasti punca kejadian dan memberikan tempoh dua minggu kepada pihak kontraktor yang terlibat untuk memberikan laporan.

Katanya, pihak kontraktor yang dilantik juga sedang giat menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pembaikan struktur bumbung yang runtuh.